SHAH ALAM: Laporan polis dibuat individu yang mendakwa didera termasuk ditampar, disuruh berbogel dan dipukul kemaluan menggunakan rotan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan didedahkan dalam prosiding inkues menentukan kematian Teoh Beng Hock.
Perkara itu dikejutkan di Mahkamah Koroner di sini semalam, oleh Peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, apabila mengemukakan beberapa laporan polis yang mendakwa terdapat saksi atau suspek yang didera di pejabat SPRM, tingkat 14 Plaza Masalam di sini.
Menurutnya, bagi menyokong dakwaan itu, pihaknya mempunyai gambar untuk dijadikan bukti berhubung penderaan berkenaan.
“Dalam laporan itu mendakwa pegawai SPRM bergilir-gilir menampar, menutup mata, menyuruh berbogel. Terdapat juga menggunakan batang besi yang dibalut dengan akhbar sebelum memukul perut, punggung, tangan dan kaki.
“Selain itu, ada yang menggunakan rotan untuk membelasah kemaluan dan tapak kaki hingga menyebabkan saksi hampir pengsan,” katanya.
Gobind berkata demikian selepas menyoal saksi ke-19, Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang didakwa ada melakukan perbuatan itu ketika memberi keterangan dalam prosiding inkues, semalam.
Bagaimanapun, peguam pemerhati SRPM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata dakwaan itu tidak berkaitan dengan kes prosiding inkues Teoh.
Menurutnya, pihaknya berharap perkara itu dibuat secara hujahan untuk mengelak memalukan orang lain.
“Kita tidak boleh berpatah balik berhubung kejadian yang berlaku di SPRM. Apa yang berlaku terhadap orang lain itu melangkaui skop kita,” katanya.
-Metro-







