KARACHI – Hampir 20 wanita dan kanak-kanak maut akibat sesak nafas ketika berebut untuk mendapatkan bekalan tepung percuma bagi penduduk miskin di Karachi, semalam.
:”Setakat ini kami menerima 20 mayat wanita dan kanak-kanak manakala jumlah mangsa yang cedera adalah lebih 30 orang,” kata seorang pegawai hospital, Amin Khan.
Ketua Polis Karachi, Wasim Ahmed berkata, sekurang-kurangnya 18 wanita dan kanak-kanak maut dalam kejadian itu.
“Kematian itu disebabkan sesak nafas kerana berhimpit-himpit untuk mendapatkan bekalan tepung percuma,” katanya.
Rakaman televisyen menunjukkan wanita yang memakai burka menangis manakala ambulans membawa mayat-mayat dan mangsa yang cedera ke hospital.
Seorang wanita, Fatima Hashim berkata, anak perempuannya cedera parah dalam kejadian itu yang berlaku di sebuah kawasan sempit.






