AMPANG: Degil kerana tidak mahu mengakui kesalahan selepas melanggar sebuah kereta, seorang lelaki menerima padah apabila dia dibelasah hampir 20 Mat Rempit berhampiran lampu isyarat di Jalan Ampang di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, lelaki berkenaan yang dikatakan mabuk melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan.
Bagaimanapun, lelaki itu enggan mengakui kesalahannya selain hanya berkurung dalam kereta.
Menurut sumber polis, lelaki terbabit yang memandu Proton Waja sanggup menunggu hampir 30 minit dalam keretanya kerana terlalu takut.
“Sikapnya itu menambahkan lagi kemarahan pemandu kereta yang dilanggarnya kerana dia langsung tidak mahu berbincang.
“Keadaan menjadi semakin kecoh apabila beberapa pengguna jalan raya lain yang juga menyaksikan kemalangan terbabit turut campur tangan,” katanya.
Menurut sumber itu, beberapa lagi penunggang motosikal dipercayai Mat Rempit turut berada di lokasi kejadian dan keengganan mangsa turun dari kereta juga menimbulkan kemarahan mereka.
“Akibatnya, lelaki itu menjadi mangsa apabila dia dibelasah kumpulan Mat Rempit yang memecahkan kedua-dua cermin keretanya.
“Selain itu, kunci kereta mangsa turut dirampas ketika dia cuba melarikan diri,” katanya.
Katanya, mangsa yang berusia 30 tahun itu cedera di dada akibat dibelasah dengan kayu dan dia membuat laporan polis sejurus selepas kejadian terbabit.–hmetro







