Mariam Johari, wanita yang meninggal dunia di Korea Selatan selepas terkandas di negara itu selama 64 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, di sini, petang ini.
Jenazah warga emas berusia 88 tahun itu dikebumikan kira-kira jam enam petang dengan dihadiri kira-kira 50 orang termasuk anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, adik bongsu Mariam, Iash Johari, 76.
Terdahulu, hujan lebat mengiringi ketibaan jenazah Mariam di Hospital Kota Tinggi kira-kira jam 3.40 petang untuk dimandi dan dikafan sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira jam 5.15 petang.
Mariam menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah rumah kebajikan di Korea Selatan pada 5 September lalu akibat kegagalan buah pinggang.
Terdahulu, jenazah Mariam diterbangkan dari Seoul pada jam 8.50 malam semalam dengan pesawat Thai Airways melalui Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12 tengah hari tadi.
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, yang dilahirkan di Plentong, Johor Baharu, terkandas di Korea Selatan selepas mengikuti Cho Se Won, seorang tentera kerahan Jepun. -bharian






