Jenazah Noordin Mohd Top, penjenayah paling dikehendaki yang ditembak mati oleh polis Indonesia dalam serbuan di Solo, Jawa Tengah pada 17 September akan dibawa ke Malaysia pada 1 Oktober depan.
Ketua Polis Indonesia, Jeneral Bambang Hendarso Danuri, berkata jenazah Noordin akan dituntut pada Khamis depan dan polis Indonesia sudah pun menerima wakil daripada Polis Diraja Malaysia berkaitan urusan mengambil jenazah itu.
“Khamis nanti baru diambil (jenazah itu),” katanya seperti dipetik media massa dalam talian tempatan di sini, hari ini.
Beliau berkata, jenazah pengganas yang diburu oleh polis Indonesia selama sembilan tahun itu, yang kini ditempatkan di Hospital Polis Kramat Jati di sini, tidak diberikan sebarang kawalan keselamatan yang luar biasa dan ketika dibawa keluar juga nanti tidak akan dikawal secara khusus.
Semalam, tiga anggota polis Malaysia dilaporkan sudah pergi ke Hospital Polri dengan diiringi pegawai polis Indonesia, namun mereka tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media massa.
Difahamkan tiada ahli keluarga Noordin dari Johor yang akan datang ke sini untuk menuntut mayat lelaki itu walaupun media massa tempatan melaporkan bahawa isteri dan abang Noordin akan ke sini pada 27 September.
Noordin dan tiga rakan pengganasnya, rakyat tempatan mati dalam serbuan polis itu yang membabitkan berbalas tembakan di sebuah rumah di mana polis kemudiannya menjumpai 200 kilogram bahan letupan, beberapa senjata lain, komputer riba dan dokumen.






