Oleh Sakini Mohd Said
TANGGAL 29 Mei lalu, genap 36 tahun industri hiburan tempatan kehilangan seorang insan seni berjiwa besar, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada 1973 kerana penyakit jantung.
Biarpun sudah lama arwah pulang ke Rahmatullah, khazanah seni peninggalannya bukan saja cukup bernilai pada saat ini, malah sentiasa mendapat perhatian kerana kualiti jalan cerita di samping pelakonnya menggamit sesiapa saja yang menonton.
Mengambil keberkatan Ramadan lalu, sahabat baik arwah iaitu pelakon, pengarah filem, pelawak dan penulis skrip, Datuk Aziz Sattar bersama bekas jurugambar hiburan yang kini jurugambar politik, Roslay Raffie mengadakan majlis tahlil pada 13 Ogos lalu di tanah perkuburan Islam Ampang bagi mengingati pengorbanan arwah selama ini.
Majlis itu turut diadakan untuk Puan Sri Saloma, bekas isteri, Norizan dan anak arwah Nasir serta sahabat, AR Tompel.
Antara artis veteran yang turut hadir Datuk Mustapha Maarof, Datuk M Daud Wahid, Mariani bersama anaknya, Rozita Rohaizad serta anak-anak arwah Nasir.
Bagi Aziz, 84, perasaan sebak tidak dapat lari tatkala menziarahi pusara rakan baiknya itu.
Malah, setiap tahun menjelangnya Ramadan, Aziz berusaha mengadakan majlis tahlil biarpun ia secara kecil-kecilan.
“Walaupun arwah sudah lama meninggalkan kita, sebagai sahabat saya tidak pernah lupa menziarahi pusaranya. “Selain arwah P Ramlee, kubur isterinya, Saloma dan AR Tompel turut dikebumi di sini. Mereka semua adalah antara yang rapat dengan saya.
“Justeru, sebagai sahabat menjadi tanggungjawab mendoakan mereka yang sudah pergi agar segala dosa diampunkan dan diterima Allah s.w.t.
“Majlis tahlil seperti ini sudah lama saya buat. Sebelum ini, di Masjid Al-Huda kerana saya menetap di Shah Alam. Tetapi, apabila pindah di Kuala Lumpur tahun lalu, saya meminta pertolongan Roslay untuk mengadakan majlis tahlil di tanah perkuburan Ampang ini,” katanya.






