2 maut dihempap bangunan

0

Category : Perak

“Dua rakan sempat memaut tangan saya ketika saya merangkak keluar dari kereta, tapi sejurus selepas itu, satu lagi blok bangunan runtuh menyebabkan saya gagal menyelamatkan mereka.

“Saya hanya sempat melihat tangan mereka terkulai layu,” kata Abdul Qudus Ismail, 21, mangsa tunggal yang terselamat dalam kejadian sederet tujuh rumah kedai yang runtuh dan menimpa empat kereta di Jalan Kamarudin Isa di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, dua rakan Abdul Qudus yang menaiki Perodua ViVA dipandunya maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu dan penumpang tiga lagi kenderaan sempat menyelamatkan diri.

Abdul Qudus yang cedera parah termasuk patah pinggang dan tangan kanan menceritakan detik cemas itu kepada abangnya, Abdul Naim, 28, selepas menghubunginya melalui telefon bimbit.

Dua rakannya yang terbunuh ialah Mohd Firdaus Mohd Norzila, 23, dan seorang lagi Zairee Mohd Sabri, 25.

Abdul Naim berkata, adiknya yang bekerja sebagai juruteknik komputer di sebuah syarikat di sini, menghubungi telefon bimbitnya kira-kira jam 10 malam bagi memaklumkan kejadian itu.

“Sebaik menemuinya di hospital, Qudus yang masih sedarkan diri, menceritakan detik cemas kejadian itu. Dia memberitahu, ketika tiba di tempat kejadian, tiba-tiba bangunan lama di tepi jalan yang sedang dalam proses dirobohkan, runtuh dan menimpa kereta dipandunya.

“Adik saya sempat merangkak keluar menyelamatkan diri dan ketika itu dia memberitahu saya, dua rakannya memaut tangannya dan menjerit supaya mengeluarkan mereka, tetapi dia gagal berbuat demikian kerana berlaku runtuhan kedua meranapkan keretanya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata anggotanya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9.50 malam dan mendapati empat kereta jenis Honda Accord, Perodua Kenari, Perodua Kelisa dan Perodua Viva berada di bawah runtuhan itu.

“Difahamkan ketika kejadian, kerja merobohkan bangunan berkenaan sedang dijalankan kerana sebuah jentolak masih berada di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan berkenaan semalam.

Zulkifli berkata, dua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke HRPB untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa.

“Mangsa yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama dan pihak polis masih meneruskan siasatan bagi mencari punca sebenar berlakunya runtuhan itu,” katanya.

Manakala Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut melawat tempat kejadian berkata, kerajaan negeri akan menghantar bantuan kilat kepada mangsa terbabit dalam tragedi itu.

“Selain itu, kita akan menyiasat semula sama ada notis kerja meroboh bangunan terbabit sudah dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk diserahkan kepada tujuh pemilik kedai berkenaan.

“Difahamkan, tujuh pemilik bangunan kedai lama itu sudah bersetuju untuk meruntuhkan kedai agar ia dibangunkan semula dan beroperasi seperti sediakala,” katanya.

Post a comment

[ Online : 914 hari. ]