Askar bebas 39 tebusan dalam serangan 22 jam

0

Category : Luar negara

RAWALPINDI: Komando Pakistan membuat serbuan ke atas ibu pejabat tentera semalam bagi membebaskan 39 tebusan yang ditahan militan, sekali gus menamatkan drama keganasan hampir sehari.

Tiga tebusan, dua askar dan empat disyaki militan Taliban terbunuh dalam operasi menyelamat itu. Seramai 19 terbunuh dalam keganasan berkenaan di bandar yang tidak jauh dari ibu negara Islamabad.

Enam lagi askar dan empat militan lain maut dalam keganasan 22 jam yang bermula Sabtu lalu, di bandar Rawalpindi, serangan ketiga militan dalam tempoh seminggu.

Serangan berani berkenaan mendedahkan kelemahan Pakistan ketika menghadapi militia Taliban yang semakin berpengaruh selepas kematian pemimpin mereka, walaupun diserang oleh tentera kerajaan.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Athar Abbas, berkata komando melancarkan serbuan pada jam 6 pagi waktu tempatan dan menghadapi tentangan lima militan.

“Seramai 39 tebusan diselamatkan dan tiga lagi terbunuh,” kata Athar sambil menekankan bahawa penyerang yang membunuh tebusan berkenaan.

“Penyerang memakai jaket bunuh diri, bahan letupan dan bom tangan. Mereka mahu meletupkan semua tebusan dan melakukan kerosakan besar,” katanya.

Dua askar dan empat penyerang terbunuh dalam operasi menyelamat itu. Pemimpin serangan melepaskan diri dan meletupkan beberapa bom sebelum cedera dan ditahan.

Athar berkata, pegawai perisikan menyiasat kemungkinan wujudnya hubungan antara militan yang masih hidup dikenali sebagai Aqeel atau ‘Doktor Usman’ dengan serangan terhadap pasukan kriket Sri Lanka di Lahore, Mac lalu.

Serangan terbaru ada persamaan dengan kejadian pada Mac lalu itu yang menyaksikan enam anggota polis dan dua orang awam maut. Militan yang ditahan itu mempunyai nama dan nama samaran sama dengan seorang penyerang di Lahore.

Drama keganasan itu bermula tengah hari kelmarin apabila sembilan lelaki bersenjata berpakaian seragam tentera dan bersenjata automatik melepaskan tembakan untuk melepasi sekatan keselamatan.

Empat militan dan enam askar terbunuh di pos pemeriksaan kedua dan baki penyerang lari dengan menjadikan 42 kakitangan tentera sebagai tebusan.

Keganasan itu menyusuli serangan bom pada Jumaat lalu menyebabkan 52 orang awam terbunuh di sebuah pasar di bandar Peshawar selain serangan terhadap pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Islamabad menyebabkan lima terbunuh, Isnin lalu. � AFP

Post a comment

[ Online : 1011 hari. ]