‘Belum ada keperluan saya masuk UMNO’

0

Category : Politik

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, belum terdapat sebarang keperluan untuk beliau menyertai semula UMNO dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, terdapat beberapa sebab mengapa beliau mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas termasuk tidak mahu dituduh kembali menyertai parti itu kerana ia semakin kuat.

“Saya suka membuat penjelasan secara muktamad hari ini iaitu walaupun saya menyambut baik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya berpendapat atas beberapa sebab, belum lagi ada keperluan bagi saya menghantar borang menyertai UMNO.

“Saya tidak mahu orang ramai membuat andaian saya menyertai UMNO kerana parti ini sekarang bertambah kuat, disebabkan kepentingan peribadi, mengejar pangkat atau pun dibeli mana-mana pihak,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu semalam bahawa parti berkenaan tidak pernah menyekat sesiapa yang berhasrat menyertainya termasuk Ibrahim.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, kemasukan itu masih tertakluk kepada prosedur, syarat serta peraturan terutama melibatkan permohonan daripada bekas ahli.

Menurut Ibrahim, sebab lain beliau tidak menyertai UMNO ialah kerana ingin menjaga kewibawaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajuinya supaya ia tidak dituduh menjadi alat pada mana-mana kumpulan.

Dalam pada itu, katanya, beliau kini cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan negara dan rakyat kerana parti itu sekarang bersikap lebih terbuka untuk dikritik berbanding Pas.

“Saya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin. Saya suka dengan suasana UMNO sekarang di bawah pimpinan baru yang lebih terbuka dan boleh menerima apa jua kritikan.

“Kerjasama dengan Pas pula hanya ketika pilihan raya umum lalu. Saya tidak menjadi ahli parti itu kerana apabila saya memberi teguran dan kritikan yang saya rasa patut, nampaknya mereka tidak boleh terima sebaliknya mendesak supaya saya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan beliau menyertai UMNO suatu masa nanti, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkannya jika beliau melihat parti itu semakin lemah dan perlu dibantu.

“Apabila saya mendapat ilham dan saya kira sudah bersedia untuk menyertai mana-mana parti politik apatah lagi UMNO yang menjadi parti saya dahulu, maka saya akan buat keputusan.

“Mungkin dua bulan, enam bulan, setahun atau sampai kepada tempoh Dewan Rakyat yang ada sekarang ini dibubar untuk diadakan pilihan raya umum,” kata Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Katanya, dengan kekal sebagai wakil rakyat Bebas, beliau boleh menjadi mata dan telinga rakyat dan akan memberi teguran membina jika terdapat kesilapan dilakukan kerajaan.

“Walaupun saya orang kecil, saya menganggap diri saya sebagai orang perjuangan. Saya boleh hidup di padang pasir dan di lautan luas. Saya yakin dengan semangat juang yang ada, saya boleh menghadapi cabaran-cabaran ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin UMNO Kelantan, ujarnya, hubungan itu amat baik dan beliau bersedia membantu sekiranya diperlukan.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemimpin UMNO Kelantan kerana mereka juga rakan-rakan saya dulu. Apa yang boleh saya bantu saya akan bantu, apatah lagi untuk kebaikan rakyat Kelantan,” katanya.

Post a comment

[ Online : 1011 hari. ]