Oleh HAFIZA TALIB
FIKIRANNYA dirasuk ingatan yang bukan-bukan. Hatinya berdegup rancak penuh kegelisahan menanti derma yang diperlukan. Namun bukan wang ringgit yang diimpikan tetapi sebuah organ yang dinamakan hati untuk menggantikan hatinya yang telah rosak dek penyakit yang boleh membahayakan nyawanya.
Zahid, lelaki yang berusia 40-an tahun itu, kini suka memencilkan dirinya di rumah. Perasaannya didera kebimbangan mengenang nasib malang yang menimpa dirinya sejak mengetahui akan penyakitnya. Masalah yang dihadapi Zahid itu berkaitan dengan masalah kelukaan pada organ hati. Disebabkan luka itu juga, hatinya tidak dapat melakukan apa yang dilakukan oleh organ hati yang sihat iaitu membuat zat protein, membantu melawan jangkitan penyakit, membersihkan darah, membantu menghadamkan makanan dan menyimpan tenaga.
NASIHAT DOKTOR
“Penyakit Sirosis Hati ini boleh menyebabkan masalah lain seperti pesakit mudah cedera atau mengalami pendarahan… atau hidung berdarah, bengkak di perut atau kaki, lebih sensitif kepada ubat-ubatan, tekanan darah tinggi di saluran-saluran darah ke arah organ hati dan boleh mengakibatkan kerosakan ginjal,” jelas Dr Simon Tay yang fasih berbahasa Melayu. Doktor yang berasal dari Malaysia itu memusatkan perhatiannya ke arah Zahid yang kelihatan tunduk lesu. Sudah tentu hasil ujian X-ray yang baru ditunjukkan oleh Dr Simon Tay tadi telah membuat badan Zahid terasa menggigil dan semangatnya untuk terus hidup telah patah.
“Encik Zahid, awak perlu tahu jika terlalu banyak kelukaan pada hati, biasanya doktor akan menasihatkan supaya pesakitnya itu menjalani pemindahan hati, jika ada yang sesuai.”
Kata-katanya mati di situ. Air mata mula bergenang di kelopak mata Zahid. Terbentang di hadapan matanya masa depan yang akan pudar.
Melihat keadaan suaminya begitu, hati si isteri pilu bagai tersayat sembilu. Tumpahlah sudah titisan jernih daripada kolam matanya tanpa dapat dibendung lagi. Dengan cepat dia mengeringkannya.
Dengan hati yang cekal, Normala memberanikan diri bertanya kepada doktor itu. “Jika ada penderma yang sesuai, apa yang patut dilakukan, doktor?”
Kedengaran gugup suaranya. Zahid masih membisu dalam seribu bahasa. Mungkin menahan sebak di dada. Melihat keadaan isteri pesakitnya yang mahu tahu, Dr Tay menjelaskan, “Semasa pemindahan hati dijalankan, doktor bedah akan membuang bahagian organ yang telah rosak itu dan menggantikannya dengan yang sihat. Untuk pengetahuan awak, pemindahan organ hati daripada orang yang masih hidup boleh dilakukan kerana hati ialah organ yang menakjubkan yang boleh tumbuh semula dengan sendirinya secara semula jadi.”
“Bagaimana kalau aku yang memberi hatiku ini kepada Abang Zahid?” soal Normala pada dirinya. Kuntum kegembiraan dan harapan mula mengembang di hatinya, sekali gus menghalau debaran yang memukul dada. Setidak-tidaknya kata-kata doktor tadi memberi perangsang kepadanya untuk meneruskan niat membantu suaminya.
BEKERJA SEMULA
Pintu lamunan Zahid tertutup rapat sebaik sahaja daun pintu rumahnya diselak perlahan. Normala muncul. Dia kelihatan letih sebaik sahaja pulang dari bekerja.
Normala menegur suaminya, “Macam mana abang hari ni?” Kemudian menghenyakkan punggungnya di atas kerusi.
“Entahlah, badan abang terasa penat ajalah…”
“Habis, abang buat apa seharian di rumah? Tidur?” usik Normala sambil bergurau.
“Iyalah, habis… Mala nak abang buat apa?” soal Zahid semula. Dia bukannya seorang yang pemalas, tetapi penyakitnya itu yang membuat dia menjadi tidak bermaya.
“Mujur tak bekerja makan gaji, kalau tidak, sudah kena buang kerja barangkali… fasal sakit saja,” rungut Zahid, seakan-akan kecewa.
“Tak tahulah… .macam mana lagi abang boleh bertahan?”
Normala merenung suaminya semacam. Dia tidak mahu suaminya lemah semangat dan berserah saja pada takdir. Memanglah perniagaan produk kecantikan dan bekalan ubat-ubatan tradisional yang diceburi sejak dua puluh tahun lalu itu hampir gulung tikar akibat penyakit Sirosis hatinya, namun bukankah semua itu satu ujian? Manusia harus bersabar dan selalu beringat, kerana disayangilah maka seseorang itu diuji dengan penyakit atau masalah hidup. Sepi sejenak.
Ingatan Normala pantas berlari ke zaman silam. Semasa gadis dahulu, pekerjaan pertamanya ialah jururawat. Tetapi setelah berkahwin dengan Zahid, dia berhenti kerja lantas membantu suaminya dalam bidang perniagaan. Perniagaan yang diusahakan bersama itu semakin maju dan berjaya sehinggalah kesihatan Zahid terganggu, dia terpaksa kembali bekerja dalam bidang yang sama, semata-mata untuk membantu kewangan keluarga.
Minuman panas segera dihidangkan buat suaminya lalu diletakkan di atas meja di ruang tamu. Di matanya, dia melihat suaminya seperti orang yang dalam kebuntuan. Zahid tidak boleh dipersalahkan. Demam tinggi, sikap selalu lupa, bingung, semua itu adalah kesan dari penyakitnya. Berat badannya juga telah menurun. Semua itu bukan kemahuan Zahid.
“Kasihan awak, penat bekerja,” ujar Zahid untuk mengalihkan perhatian Normala dari terus merenungnya. Segaris senyuman terukir di bibir si isteri.
Digenggam erat-erat tangan suaminya seakan mahu memberi semangat. Tiba-tiba pandangan Normala bertukar menjadi sayu.
MEMBERI SEMANGAT
“Abang, kita tak boleh putus asa. Tuhan tak suka pada orang yang lekas menyerah kalah tanpa berusaha untuk memperbaiki keadaan. Abang boleh sembuh. Banyak- banyaklah bermunajat pada Tuhan agar diringankan beban kita. Mudah-mudahan ada insan di luar sana yang sudi menderma sebahagian organ hatinya pada abang. Lepas tu, kita boleh hidup seperti sedia kala. Bila abang dah sihat nanti, Mala janji… akan tolong abang semula. Kita majukan semula perniagaan kita tu ya, bang?”
Sinar gembira mengerlip di matanya apabila dia meluahkan perasaannya itu. Biarpun ada air jernih bertakung di kelopak matanya, namun dia yakin Tuhan yang Maha Penyayang mendengar permintaannya dan akan menolong dia dan suaminya.
“Abang berjanjilah akan terus kuat. Anak-anak kita masih kecil, bang. Mereka…”" tiba-tiba kata-kata Normala terputus dek menahan sebak di dada. Kemudian dia menyusun semula baris-baris ayat dengan penuh hati-hati.
“Mereka mahukan perhatian abang. Mala perlukan abang. Susah senang kita harungi bersama. Tak ada perkataan jemu atau penat dalam kamus kehidupan Mala, bang.”
“Terima kasih, Mala. Kalau tidak dengan sokongan Mala, abang tak tahu apa akan jadi pada diri abang. Abang perlukan sokongan keluarga, Mala…” ujar Zahid dengan penuh hiba.
Sepanjang meniti liku-liku sukar ini, Zahid memang tidak pernah berputus harap setiap kali mendapat panggilan telefon dari hospital, sangkanya mungkin itu berita gembira tentang adanya penderma organ. Namun setiap jawapan yang diterima hanya mengecewakannya, kerana pihak hospital cuma memantau kesihatannya dan kadangkala untuk memberitahu perkembangan terkini.
Penantian memang suatu penyeksaan. Penuh dengan debaran. Rasa takut dan gembira bercampur menjadi satu kerana dia tahu proses pemindahan hati itu boleh memakan masa sampai sepuluh jam. Dalam apa pun keadaan, hidup perlu banyak kesabaran dan tawakal kepada Tuhan.
Harapan tetap tinggal harapan. Hajat untuk mendapatkan penderma yang bersesuaian hingga kini masih belum kesampaian. Zahid terus menunggu macam buah tak jatuh. Akibat menaruh harapan yang menggunung tinggi, Zahid naik berang dan menangis teresak-esak sebaik sahaja gagang telefon diletakkan.
“Asyik-asyik tak sesuai… tak sesuai! Jangan telefon lagi ’kan baik!” jerit Zahid lantang.
“Abang?” Normala terkejut dengan tingkah suaminya.
“Aku bosanlah dengan keadaan macam ni! Mati ’kan baik!”
“Abang?? Kenapa cakap macam orang tak beriman? Kan pihak hospital masih cuba mendapatkan penderma yang sesuai? Mereka masih membantu kita, bang! Sabarlah sikit!” pinta Normala agak hampa dengan sikap Zahid.
“Sampai bila?” Zahid menangis geram.
“Manalah saya tahu, tapi saya minta pada abang, ingatlah pada Tuhan. Semua ini qadak dan qadar. Siapa yang mahukan sakit? Semua orang hendakkan sihat. Saya tertekan tau, kalau abang berkelakuan begini!”
Normala menangis melepaskan geram. Zahid terpukau sejenak. Kini dia menyedari bahawa dia telah melukakan hati isterinya.
“Ya Allah… kenapa dengan aku ni, ya Allah? Astaghfirullahilazim…”
Normala mendekati suaminya yang sedang menangis lalu mendakapnya.
“Maafkan abang, Mala. Abang terlalu emosi,” ujar Zahid menyedari kesilapannya.
Malam kian pekat bagaikan arang. Normala tidak dapat melelapkan mata memikirkan bagaimana cara hendak menolong Zahid. Dia harus melakukan sebuah pengorbanan yang besar untuk orang yang dikasihinya sebelum penyakitnya bertambah teruk. Terpandang akan sehelai selendang sutera yang dihadiahkan oleh Zahid kepadanya sempena hari ulang tahunnya yang lalu, dipegang, dibelek kemudian diciumnya. Teringat dia seni kata lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Ismail Harun dengan mendayu-dayu, “lukaku parah… tiada ubatnya… hanyalah sutera mulia… untukku balut luka.”
DERMA HATI
“Luka pada hati Zahid itu dapat disembuhkan sekiranya aku menjalani pemeriksaan. Jika di dapati bersesuaian, aku berhasrat untuk mendermakan sahaja sebahagian hatiku pada Abang Zahid.”
Luahan rasa isterinya itu amat mengejutkan Zahid. Dia tidak pernah bermimpi bahawa itu yang akan berlaku. Apa yang bermain di kotak fikirannya sekarang, siapa yang akan menjaga anak-anaknya jika ditakdirkan dia kecundang?
“Saya ikhlas, bang. Izinkan saya lakukan ini. Biarpun saya tidak boleh menjadi sebaik Siti Khadijah, isteri Rasulullah, tapi izinkan saya membahagiakan abang. Tak ada sesiapa yang boleh memaksa saya bertindak atau merubah fikiran. Saya ingin buktikan cinta saya yang suci terhadap abang. Saya ingin berbakti kepada abang. Doktor dah pun mengesahkan, hati yang telah dipindahkan itu boleh tumbuh semula, bang. Peluang untuk abang menerima hati Mala amat besar. Harapan untuk abang menikmati hidup yang sihat semula terbentang luas, bang.”
Normala sedaya upaya memujuk suaminya.
“Apa kata keluarga Mala nanti kalau mereka tahu Mala melakukan ini untuk abang? Tidakkah ini boleh meretakkan hubungan keluarga jika mereka tak mengizinkan?”
“Abang jangan susah hati. Abang ’kan suami Mala. Apa salahnya Mala berikan hati Mala pada suami sendiri?”
“Jangan ambil mudah perkara ini, Mala.”
“Berilah Mala peluang sekali ini, bang. Jangan menyerah dan jangan putus berdoa. Tuhan suka pada hamba-Nya yang berdoa.”
“Awak memang isteri yang solehah. Abang beruntung punya isteri seperti Mala.”
Pada hari itu, Normala dan Zahid pergi ke hospital. Setelah menjalani ujian, Normala disahkan sebagai penderma yang sesuai untuk mendermakan sebahagian hatinya pada Zahid. Berita itu amat menggembirakan mereka berdua hingga tanpa disedari manik-manik jernih putus dari kelopak mata masing-masing. Bersyukur dan lega kerana satu bebanan telah dapat diatasi dengan adanya penderma. Dan wanita yang berjasa itu adalah isterinya sendiri.
Melihat suaminya riang, Normala tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih bak mutiara. Dia merasakan titik-titik cahaya mula menerangi kegelapan.
“Inilah pengorbanan cintaku yang suci terhadap Abang Zahid biarpun nyawaku sendiri menjadi taruhan,”bisiknya perlahan.
RINTANGAN
Beberapa hari yang lalu, mereka bertemu Dr Simon Tay lagi. Perasaan gembira kini bertukar menjadi satu debaran pula kerana beberapa halangan. Mereka diberitahu bahawa hospital di mana Zahid menjalani rawatan itu hanya boleh menjalankan pembedahan pemindahan hati bagi kanak- kanak sahaja. Normala dan Zahid dinasihatkan perlu pergi ke Hospital Gleneagles untuk rawatan seterusnya. Doktor Tay menerangkan selanjutnya bahawa pembedahan dan pemindahan itu akan menelan belanja sekitar $250,000.
Mendengar khabar itu, terhentak sungguh hati kedua pasangan itu. Mereka membayangkan bagaimana hendak mencari wang sebanyak itu. Sekali gus membuat mereka rasa kurang yakin bahawa rintangan itu dapat mereka harungi.
Punah segala harapan Zahid. Biarpun terkejut dengan maklumat itu namun Normala bersikap tenang sahaja. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, fikirnya.
“Aku harus berikhtiar walau apa pun caranya. Impian Abang Zahid untuk pulih semula setinggi gunung. Tak sanggup aku melihat ia hancur musnah.”
Sejak itu berbagai persoalan menghantui malam dan siang mereka.
Keesokan hari, Normala melangkahkan kakinya keluar rumah. Dari sebuah rumah ke sebuah rumah adik-beradiknya dia berkunjung dengan harapan untuk mendapatkan bantuan dan pinjaman wang. Ada yang menentang, ada yang memberi pinjaman tanpa banyak persoalan kerana mereka tahu keadaan Normala yang tersepit pada ketika itu.
“Kau dah fikir habis-habis hendak menolong Abang Zahid, kak? Aku bukannya apa, kak. Aku cuma kasihankan kau. Bukan sikit kau nak pinjam wang dari adik-beradik kita, saudara mara ataupun dengan kawan-kawan kau, semata-mata untuk melakukan perkara itu. Seumur hidup kau akan memikul beban hutang. Kau yakin, pembedahan pemindahan hati itu akan berjaya? Ini melibatkan nyawa kau, kak!” tegas Natasha, adik Normala yang bongsu.
“Tasha, Abang Zahid itu suami kakak! Jika kau berada di tempat kakak tentu kau akan melakukan perkara yang sama, dik. Islam, agama yang membawa rahmat kepada semua. Kakak berserah kepada takdir. Hidup dan mati kakak hanya di tangan Tuhan. Kau janganlah terlalu bimbang. Pemindahan organ sebenarnya adalah satu pencapaian perubatan masa kini yang canggih. Insya-Allah. Kau doakanlah agar pembedahan ini berjaya,” ujar Normala dengan titisan air mata.
“Maaf kak, aku bukan nak buat kakak bersedih. Aku pun tahu, dalam Hota pun ada menyebut fasal jantung, hati, kornea dan ginjal. Ia boleh dipindahkan secara automatik daripada mereka yang meninggal dunia kecuali mereka yang memilih untuk mengeluarkan diri mereka daripada akta tersebut,” jelas Tasha. Suaranya sudah mula mengendur. Niatnya sekadar untuk mengingatkan kakaknya sahaja tentang risiko pembedahan itu.
“Kalau kau dah tahu, ayuh… beri kakak semangat! Kakak masih bernyawa, Tasha! Kau tolonglah kakak. Yakinkan adik-beradik kita yang lain… demi untuk Abang Zahid, dik! Kakak tak mahu lihat Abang Zahid semakin menderita menanggung penyakitnya, Tasha!”
Natasha agak gugup, takut menyinggung perasaan kakaknya lagi. Namun dia nekad memberitahu, “Ada orang menganggap bila kita mati, setiap organ kita perlu ditanam bersama… kerana… ialah kerana kita akan dibangkitkan seperti kita mati. Kalau di ambil sebahagian ginjal, hati atau organ-organ yang lain, macam mana keadaan kita bila dibangkitkan nanti? Tak lengkap?”
“Tasha, kakak tahu kau prihatin. Allah swt berkuasa membangkitkan hamba-Nya dalam apa jua keadaan yang Dia kehendaki, dik…” ujar Normala sambil menarik nafas perlahan. Pandangannya terlontar ke arah lain untuk menyembunyikan kesedihan.
“Andainya ditakdirkan umur kakak tak panjang, anggaplah semua ini sudah ajal. Kakak reda.”
“Kakak??” Tasha terharu. Wajahnya berubah. Namun dia cuba memahami perasaan wanita yang bersemangat waja itu.
“Aku mahu kau tahu, kak. Kita semua sayangkan kakak.”
“Aku juga sayangkan Abang Zahid.” Normala menangis lagi. Akhir-akhir ini dia banyak menitiskan air mata.
“Kakak harapkan pengertian keluarga, saudara-mara dan teman-teman, dik.”
“Cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakitnya. Jika itu kata putus kakak, kami tak dapat menghalang niat kakak.”
“Terima kasih, Tasha… terima kasih.” Normala memeluk adiknya erat-erat. Itulah yang dia mahukan iaitu sokongan moral orang-orang yang terdekat di sisinya. Bukan mudah untuk meyakinkan seseorang, fikir Normala sambil menarik nafas lega.
Berkat kegigihannya, kos rawatan yang menelan belanja ratusan ribu dolar itu akhirnya berjaya dikumpulkan. Normala dan Zahid bersujud syukur. Sekurang- kurangnya satu lagi masalah telah mereka huraikan. Lantaran itu, tangkai hatinya diulit kegembiraan bila bantuan datang mencurah-curah dari pelbagai pihak. Bertambah lega lagi perasaan Normala dan Zahid bila pihak NUH dan Gleneagles membantu mereka mendapatkan bantuan subsidi Kementerian Kesihatan sebanyak $ 80,000. Setiap malam Normala dan Zahid bangkit dari tidur menunaikan solat malam, berzikir dan berdoa. Hanya kepada Tuhan tempat mereka mengadu dan meminta pertolongan. Biarpun demikian, mereka belum lagi terlepas dari menerima dugaan demi dugaan.
TENAT
Suatu hari yang amat menggerunkan, Zahid didapati dalam keadaan tenat. Dia segera dimasukkan ke rumah sakit. Normala sentiasa berada di samping suaminya dalam saat-saat genting begini.
Kini, Zahid telah pun berada di Hospital Gleneagles untuk menjalani detik cemas pembedahan pemindahan organ hati yang membabitkan isterinya selaku penderma.
Hasil usaha Normala selama ini sudah sampai ke kemuncaknya. Tanpa sokongan dari semua pihak, Normala dan Zahid merasakan hidup ini tidak bermakna, ibarat daun-daun kering yang berguguran, melayang-melayang ditiup angin dan akhirnya jatuh ke bumi.
Di atas kereta sorong, masing-masing dibawa ke tempat pembedahan. Normala memegang erat kedua tangan anak-anaknya.
“Doakan ibu dan ayah selamat, nak,” pinta Normala dengan wajah yang pucat lesi. Anak-anaknya menangis sambil mencium wajah ibu yang mempunyai hati sebersih kain putih, selembut kain sutera.
Perlahan-lahan Normala melepaskan tangan anak-anaknya.
“Aku harus kuat!” Bisik hatinya.
Kemudian dia melambaikan tangannya yang lemah ke arah anggota keluarga dan teman-teman yang turut menghantar hingga ke muka pintu bilik pembedahan.
Saat itu memang mendebarkan. Normala dan Zahid berjuang antara hidup dengan mati di samping menaruh jutaan harapan agar mereka dapat menikmati hidup yang lebih selesa dan sihat selagi hayat di kandung badan.







best…..tapi panjang sangat…