Dah kena baling batu pun ada hati lagi

0

Category : Malaysiaku

by faisal

Begitulah menjadi-jadinya pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kita dibaling batu kala menghantar bantuan bencana di Padang, Sumatera Barat (lihat sini atau lihat sini).Dalam keadaan ditimpa batu dan gunung sekalipun hati mereka tetap cekal untuk membaling batu kepada kita.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi insiden baling batu itu mungkin kerana ada yang terpengaruh dengan laporan media Indonesia mengenai isu seputar Manohara Odelia Pinot, isu perairan Ambalat, dan tarian Pendet Bali.

”Saya percaya, perbuatan melontar batu itu bukan dasar kerajaan Indonesia mahupun Gabenor Sumatera,” kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbarnya di Persidangan Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Asia Pasifik (DTSC).

Memang ia bukan dasar pemerintah Indonesia, tetapi emosi yang meluap apa puncanya? Jangan-jangan ada yang menuduh kita menghantar gempa ke sana!

Tak tahu nak cakap, khabarnya beberapa pesawat pengangkut C-130 TUDM dibaling batu oleh masyarakat tempatan di Padang ketika mendarat di salah sebuah lapangan terbang di Sumatera Barat sewaktu menurunkan bantuan makanan, perubatan dan anggota-anggota penyelamat. Bahkan bukan sekali, kerana Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Rodzali Daud memberitahu, perbuatan tidak bertamadun itu berlarutan beberapa hari sehingga semalam. Mujurlah peristiwa itu tidak mengancam keselamatan anggota-anggota keselamatan negara.

”Misi kita jelas untuk memberi bantuan, tiada agenda lain. Namun, kalau kita beri madu, tapi dibalas racun, kita ucapkan terima kasih,” Tambah Ahmad Zahid.

Mengapakah dalam hidup apabila kita memberi madu ada yang membalas dengan racun, atau saat kita menghulur ubat ada yang melempar batu?

Datuk Ahmad Zahid jangan pandang enteng perkara ini kerana baru semalam Datuk Seri Najib Tun Razak ‘menjual’ gagasan 1Malaysia kepada dunia dengan pakej baharu – 1Rantau 1Dunia – yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang. 1Rantau 1Dunia itu dilemparkan macam batu juga ketika beliau berucap di Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di Paris. Bukan apa, kita bimbang kalau orang di UNESCO itu mengatakan yang macam mana nak jual 1Malaysia kalau 1Penan kena rogol pun tak dapat pembelaan, atau macam mana nak jual 1Rantau 1Dunia kalau kita hulur ubat tetapi orang tetap tidak percaya menyangkakan ia tuba.

Tak ke kes naye tu?

* Lepas ini di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selain mengucapkan halo, hello, kita akan mendengar ucapan salam satu dunia. Persis sajak Salam Benua karya Usman Awang tahun 1970 dahulu. Salam, tanpa visa, pasport, golf, warna, kemanusiaan rakyat – seluruh benua. Saya percaya jika Tan Sri Muhyiddin yang berucap di Paris, tentu beliau akan membaca puisi Usman Awang tersebut dalam ucapan, kerana beliau sukakan bahasa, sastera dan seni; tidak seperti bosnya.

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]