Dipenjara 8 tahun bunuh kekasih isteri

0

Category : Mahkamah

Akibat terlalu marah apabila ternampak isterinya bersama seorang lelaki dalam keadaan berbogel di sebuah rumah, seorang pekerja kontrak telah memukul mangsa dengan kayu belati sehingga mati.

Tertuduh, Lee Meng Ching, 36, bagaimanapun bernasib baik kerana setelah tiga saksi memberikan keterangan, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Jika dibandingkan dengan hukuman mati yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum ini, pertuduhan pilihan itu hanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah ketika menyampaikan penghakimannya berkata, tertuduh mendakwa dia marah namun alasan itu tidak wajar memandangkan ia bukannya faktor untuk membolehkan dia memukul atau membunuh orang lain.

Beliau bagaimanapun menyatakan senjata yang digunakan bukannya dibawa oleh tertuduh sebaliknya dijumpai di tempat kejadian.

”Tertuduh berasa marah selepas melihat isterinya sendiri bersama dengan lelaki lain dalam keadaan bogel menyebabkan dia sebagai suami dan lelaki berasa tercabar. Tertuduh tiada kesalahan lampau tetapi dia tidak dapat menahan kemarahan kerana kecurangan isteri dan kenakalan si mati,” katanya.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bermula dari tarikh tangkap.

Mengikut pertuduhan, Meng Ching didakwa telah menyebabkan kematian Chong Swee Sang, 45, pada pukul 4 pagi, 22 Jun 2005 di rumah 7X, Jalan Dua, Jalan Chan Sow Lin di sini.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan memohon hukuman yang ringan, peguam K.A. Ramu menyatakan, tertuduh telah bertindak di luar kawalan selepas melihat isterinya sendiri sedang mengadakan hubungan seks dengan lelaki lain.

Menurut peguam, Meng Ching mempunyai tiga orang anak yang kini dijaga abangnya selepas ditinggalkan oleh isteri.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib bagaimanapun menyatakan mangsa sebelum mati telah dipukul dengan kayu di seluruh badan sehingga kaki kirinya patah dan ini menunjukkan tertuduh adalah seorang yang ganas.

Beliau turut menyatakan bahawa mangsa juga bapa kepada seorang kanak-kanak kurang upaya.

Sementara itu, sebaik sahaja tamat prosiding, isteri mangsa dilihat menangis sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada sekumpulan pemberita di luar mahkamah.

Post a comment

[ Online : 1011 hari. ]