Ketika Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada petang Jumaat mengadakan majlis perpisahan dengan para menteri dalam Kabinet Indonesia Bersatu (KIB), ramai calon berpotensi kini mengintai-intai untuk mengisi kerusi menteri dalam kabinet baru.
Menjelang pengumuman senarai kabinet Indonesia yang baru pada 21 Okt, calon-calon menteri itu dilaporkan berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan nama mereka termasuk dalam barisan 34 menteri untuk penggal 2009-2014.
Antara usaha yang dibuat, menurut laporan media elektronik tempatan detik.com, ialah memperbanyakkan doa dan zikir selain memburu doa para kiai atau alim ulama dan juga mendapatkan khidmat dukun dan ‘orang pintar’ – orang yang dipercayai mempunyai kebolehan tertentu.
Laporan itu yang memetik sumber, menyebut calon-calon menteri yang disebut-sebut menemui para kiai antara lain untuk meminta didoakan dan juga mengadakan acara khusus seperti berdoa beramai-ramai dan bermunajat bersama-sama yang bagaimanapun mereka lakukan secara senyap-senyap.
“Sekarang calon-calon itu sudah beralih dari usaha lahir ke usaha batin. Ada yang membaca wirid tertentu daripada sang kiai, atau mengadakan acara khataman Quran dengan doa khusus dapat menjadi menteri,” kata sumber itu, yang merupakan pemimpin tinggi sebuah parti berasaskan Islam, yang tidak disebutkan namanya.
Sebelum ini ada laporan memetik Susilo sendiri sebagai berkata banyak juga nama dan biodata calon-calon yang berminat untuk berkhidmat kepada negara dalam kabinetnya dikemukakan kepadanya melalui kaum keluarganya selain melalui pos.
“Yang dulunya malu-malu, juga ikut mengirimkan CV (curriculum-vitae). Ya, oleh saya dan Pak Boediono (bakal naib presiden) diperiksa juga… ya, orang niatnya baik,” kata Susilo seperti dipetik detik.com, mengenai reaksinya kepada ‘tawaran-tawaran’ untuk mengisi jawatan menteri dalam Kabinet Indonesia Bersatu II.
Susilo sendiri pula, dalam laman webnya, berkata pemilihan anggota kabinetnya mengambil kira banyak aspek termasuk bagi mencerminkan sifat majmuk kabinet selain yang diutamakan seperti berintegriti dan berkemampuan terbaik.
“Tentunya kabinet akan datang, dari segi agama, dari segi etnis, dari segi suku atau daerah asal, dari segi gender, termasuk yang berusia relatif tua dan berusia relatif muda, semua tentu menjadikan pertimbangan,” katanya.
Beliau menegaskan bagaimanapun tidak mungkin seluruh suku di Indonesia ini dapat diwakili kerana terbatasnya jumlah kerusi kabinet, namun pasti ada dari Pulau Sumatera, Jawa, Sulawesi, Nusa Tenggara, Papua hingga Maluku.
Sehingga hari ini, terdapat lima parti politik yang sudah bergabung dengan Parti Demokrat, parti pimpinannya yang mendapat majoriti di Parlimen.
Parti-parti itu ialah Parti Kebangkitan Bangsa, Parti Persatuan Pembangunan, Parti Amanat Nasional, Parti Keadilan Sejahtera, Parti Golkar, yang akan mendapat ‘jatah’ atau pembahagian kerusi menteri.
Dengan hanya enam orang menteri lama yang disebut-sebut akan dikekalkan dalam kabinet iaitu Hatta Rajasa, Sudi Silalahi, Mari Pangestu, Sri Mulyani Indrawati, Purnomo Yusgiantoro dan Anton Apriyantono, berkemungkinan seramai 28 muka baru akan ditampilkan.
Susilo berkata selain mempertimbangkan nama-nama yang dikemukakan parti-parti politik yang bergabung dengannya, beliau juga akan menyenaraikan sejumlah profesional dan mereka yang mempunyai kepakaran tertentu yang diperlukan Indonesia seperti dalam bidang alam sekitar untuk mengendalikan isu pemanasan global dan perubahan cuaca.
“Ini bererti Presiden Susilo mengambil langkah peremajaan kabinetnya bukan sekadar untuk memastikan Indonesia lebih bertenaga dalam tempoh lima tahun ke depan tetapi juga akan diwarisi kepimpinannya oleh generasi pelapis berpengalaman,” kata pemerhati sosial dan politik tempatan Bahrul Alam.
Malam ini, mungkin puluhan calon berpotensi menunggu panggilan telefon daripada Presiden Susilo yang mahu bertanya kesudian mereka menyertai kabinetnya, sebelum ditemubual oleh beliau dan Boediono pada Sabtu dan Ahad dan seterusnya pada Isnin menjalankan pemeriksaan kesihatan.
Pengumuman rasmi anggota kabinet baru akan dibuat sehari selepas Presiden Susilo dan Naib Presiden Boediono mengangkat sumpah jawatan dan pelantikan pada 20 Okt.– BERNAMA






