Kami terpedaya’

0

Category : umum

JOHOR BAHRU: Seramai 16 pelajar yang bersemangat mengikuti kursus solekan dan dandanan secara percuma anjuran Kementerian Sumber Manusia, mendakwa terpedaya apabila mereka bukan saja perlu membayar yuran kursus profesional bernilai lebih RM100,000, malah ditugaskan mencuci tandas sebagai latihan praktikal.

Kumpulan berkenaan didakwa kononnya menjadi mangsa selepas mendaftar sebagai perantis Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dikawal selia Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia di sebuah pusat latihan kecantikan di Taman Johor Jaya di sini, sejak awal Februari lalu.

Setiap perantis diberi subsidi RM7,200 untuk mengikuti program SLDN merangkumi tiga tahap kemahiran dengan kursus selama dua tahun, tetapi mendakwa tertipu apabila pengurusan pusat latihan itu menyelitkan kontrak bagi kursus profesional bidang sama berharga RM7,200, tanpa memaklumkan lanjut kepada mereka terlebih dulu.

Berikutan itu, kumpulan pelajar itu mendakwa tiada pilihan kecuali membuat bayaran berikutan kontrak Program SLDN dan kursus profesional itu ditandatangani sebelum dibebankan dengan pelbagai kos lain termasuk membeli peralatan kosmetik untuk tahap 1 bernilai lebih RM2,000.

 Masalah itu menyebabkan ada pelajar mengambil keputusan berhenti separuh jalan pada September lalu.

Pagi semalam, enam perantis membuat pendedahan kepada media di Rumah kelab Akhbar Cina di Taman Maju di sini.

Seorang perantis dikenali sebagai Sandra Leong, 19, berkata dia tahu mengenai program SLDN itu melalui risalah ditemui di depan pusat latihan kecantikan itu.

Menurutnya, kerana minat dalam bidang persolekan dan dandanan selain dimaklumkan ia boleh diikuti secara percuma mengikut subsidi kerajaan selain diberi elaun RM300 sebulan, dia berjumpa dengan pemilik pusat latihan kecantikan itu sebelum mendaftar pada 1 Februari lalu.

“Selepas diberi penerangan mengenai program SLDN itu, saya diarah membayar RM600 ketika mendaftar. Tetapi ketika itu, saya hanya ingat kontrak program SLDN ditawarkan dan langsung tidak diberitahu mengenai kontrak kedua untuk kursus profesional dalam bidang sama anjuran pusat kecantikan itu sendiri dengan kos RM7,200.

“Selepas tandatangan kedua-dua kontrak, saya baru sedar kursus tambahan itu dan tidak boleh berbuat apa-apa. Rupa-rupanya, bukan saya seorang terpedaya remaja lain yang mendaftar turut terperangkap dan terpaksa membuat bayaran,” katanya.

“Malangnya, selepas memulakan kursus, perantis diarah membayar lebih RM2,000 untuk membeli produk kosmetik bagi kursus tahap 1 selain bayaran RM600 sebulan selama setahun kepada pusat latihan itu. Pada peringkat awal, saya tidak kisah kerana membayangkan subsidi dari JPK yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun pelajar sendiri tetapi sehingga kini, ia gagal diperoleh,” katanya.

Sandra berkata, difahamkan hanya tiga perantis menerima elaun RM300 sebulan itu manakala yang lain terus menanti sehingga kini dan pelbagai jawapan diberikan apabila masalah itu diajukan kepada pihak berkaitan terutama JPK.

Menurutnya, menyedari sesuatu yang tidak kena, dia dan rakannya hanya mengikuti kelas lima hari seminggu itu sehingga 19 September lalu dengan masing-masing dua mengeluarkan kos lebih RM5,000 seorang.-hmetro

Post a comment

[ Online : 914 hari. ]