PONTIAN: Keluarga Noordin Mat Top hari ini mula membuat persiapan bagi urusan pengkebumian jenazah militan paling dikehendaki itu di kampung halamannya, di sini.
Kakak ipar Noordin, Ubaidah Salimon, 49, berkata keluarganya kini sudah bersiap-sedia untuk menyambut ketibaan jenazah dengan semua anggota keluarga sudah mula berkumpul di rumah pusaka keluarga mereka, di Kampung Kayu Ara Pasong, di sini.
“Kami bersedia menunggu jenazah yang akan tiba bila-bila masa. Ada adik-beradik dan keluarga terdekat sudah sampai dua, tiga hari lepas dan ada lagi yang akan sampai,” katanya ketika ditemui.
Ubaidah berkata, keluarganya mengharapkan perjalanan penghantaran jenazah dari Indonesia ke kampung berkenaan berjalan lancar dan keluarga mereka akan mengadakan kenduri bacaan tahlil selama tiga hari berturut-turut.
Katanya, jenazah adik iparnya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Waqaf Islam Kampung Melayu Pontian Besar Kiri, bersebelahan kubur arwah suaminya, Arif, yang meninggal dunia, dua minggu lalu.
“Sejak kematian Noordin mendapat liputan luas di media, ramai jiran, saudara mara dan kenalan menghubungi saya. Mereka yang berkunjung ke rumah bersempena hari raya juga turut bertanyakan mengenai kematiannya dan bersimpati dengan keluarga kami,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di kawasan perkuburan yang terletak kira-kira 150 meter dari rumah keluarga Noordin mendapati terdapat sebuah khemah didirikan di tapak kubur yang dijangka menjadi tempat persemadian militan berkenaan.
Puluhan wartawan tempatan dan luar yang difahamkan tiba di bandar ini sejak semalam, juga dilihat mula berkumpul di kawasan perkuburan sejak tengah hari bagi membuat liputan persiapan pengkebumian berkenaan.
Noordin yang mengetuai kumpulan serpihan radikal JI dikenali “Tandzim Al-Qoidah Indonesia”, terbunuh dalam satu operasi pihak berkuasa negara itu di Solo, Jawa Tengah, 17 September lalu yang sekaligus menamatkan pemburuan selama enam tahun terhadap pengganas nombor satu Asia Tenggara itu.
Bekas akauntan itu didakwa bertanggungjawab merancang dan melaksanakan siri pengeboman di Indonesia, termasuk kejadian di Hotel Ritz Carlton dan Hotel JW Marriott, Jakarta, Julai lalu yang mengorbankan sembilan orang. – bharian






