OKT 11 – Sejak bilakah keganasan menjadi lumrah politik tanah air?
Pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, beberapa orang menunjukkan luka dan cedera yang dikatakan disebabkan serangan lawan. Ada yang berkata, serangan dirancang oleh gerombolan yang memang hendak mencari gaduh. Semua pihak dituduh, dan semua pihak juga cepat menunjukkan lebam akibat dianiaya.
Jika betullah buku lima menjadi salah satu modal demokrasi kita, rasanya kematangan politik masih kurang di kalangan kita walaupun sudah berpuluh tahun berdemokrasi, serta sedozen pilihan raya umum dan ratusan pilihan raya kecil diadakan.
Nampaknya, semakin lama kita menjunjung proses pungutan suara dan undi, seakan semakin mundur pula kematangan kita.
Apa tidaknya, kini pada setiap pilihan raya ada saja orang tidak dapat mengawal perasaan. Kata-kata kesat terlalu mudah dilaungkan, mudah diapi-apikan semangat dan syak wasangka ditimbulkan terhadap lawan. Budi bicara dan budaya yang tinggi serta hemah mulia hanya jadi slogan yang mudah tercicir bila berkempen.
Lawan bukan saja ditentang fahaman politiknya, tetapi mereka juga dicop jahat dan hendak memusnah dan menjahanamkan kita, maka eloklah siap bawa kayu dan batu, pisau dan parang ketika berkempen. Maklumlah orang nak aniaya kita.
Jadi kempen politik kita bukan untuk berlawan ideologi, tetapi menanam kebencian dan marah. Rasanya tiada banyak pihak yang boleh berkata mereka terselamat daripada cara berpolitik sebegini.
Kematangan politik bermakna kita boleh menentukan di mana sepatutnya ideologi dan fahaman politik kita berakhir, dan di mana nilai hidup kita bermula. Walaupun berlainan politik, kita patut boleh sembahyang sesaf, makan setalam, boleh bertegur sapa di kenduri kendara.
Jika berdebat pun, sepak dan terajang tidak naik dan leher tidak tegang. Kematangan bermakna kita tahu merayakan kemenangan, dan menerima kekalahan. Kita mesti sedar bukan semua orang suka atau tidak suka kita.
Kematangan seseorang jelas dengan bagaimana dia membawa diri bila tewas, susah merempat. Adakah dia menerima semuanya sebagai takdir, atau kita terus salahkan orang.
Apabila kalah, kematangan terserlah jika keputusan dihormati dan lawan diucapkan tahniah. Bukannya mencari salah orang apabila tidak berjaya, atau mengada-adakan teori konspirasi yang menghalang kejayaannya, kerana sudah tentu dia dan politiknya suci dan dia ‘terpilih’ dan tidak boleh kalah. Jika kalah, sudah tentulah disebabkan kerja jahat orang!
Jika ini yang selalu dilaungkan pemimpin, dan jika segala kekalahan diikuti dengan tuduhan salah laku, konspirasi dan tindakan jahat lawan, maka tidak hairanlah jika kempen pilihan raya kita menjadi panas membara.
Kematangan bererti menghormati proses dan keputusan, kerana jika tidak, kita bersama akan menghakis demokrasi di negara kita.
Pemimpin politik perlu bertanggungjawab kerana mereka mempunyai pengaruh yang besar. Jika mereka menghalang kutuk mengutuk sudah tentu ia tidak mungkin berleluasa, tetapi jika tidak, naiklah tocang pengikut. Jika mereka mengapikan keadaan pula, rasanya tidak pelik jika ada pengikut yang melompat dan kencing berlari.
Murahlah nilai politik kita jika cara hendak menang ialah dengan mencari keburukan orang, dan bukannya menonjolkan kebaikan kita. Apakah yang kita perjuangkan jika modal mencari undi ialah melalui cercaan dan memperlekeh lawan. Politik negatif seperti ini memang selalu membuahkan hasil, tetapi di manakah nilai kita.
Jika kita tidak suka pemain bola yang mudah jatuh bila tersentuh, serta mahu menunjukkan lawannya jahat, kita juga tidak suka ahli politik yang oportunis tidak bertempat walaupun cara begitu membawa kejayaan kepadanya.
Kita bimbang bila berkumpul kita mudah hilang pedoman. Psikologi gerombolan membolehkan kita menjadi lebih berani bila ramai, lebih garang bila berduyun dan mudah memuncak bila berkumpul. Marah kita bertambah bila orang di kiri dan kanan berapi-api, dan kita mudah hilang kewarasan. Oleh itu, kerana politik kita mudah bergaduh pada hari penamaan calon, serta ketika berkempen. Ahli politik yang bijak sudah tentu berupaya menarik perasaan kita ke sana ke sini.
Jutaan rakyat melihat, ada yang suka, dan mungkin juga ada yang meluat tengok politik samseng ini. Jutaan rakyat juga tahu bila mereka melihat sandiwara, atau cerita sebenar. Ahli politik perlu berhati-hati kerana sokongan yang dicapai mungkin akan hilang jika orang meluat dengan tindak tanduk mereka pada pilihan raya dan sebagainya.
Ahli politik janganlah cuba menangguk di air yang keruh. Adalah terlalu mudah untuk menanam kebencian dan menjadikan proses demokrasi sebagai medan bermusuh, dan bukannya gelanggang di mana pendapat dan ideologi diperjuang, dicabar atau digilap.
Perkataan seperti berjuang atau jihad memang boleh memberi nilai emosi yang lebih, dan adakala ada terbawa-bawa. Proses politik ialah untuk menentukan masa hadapan dan arah tujuan, bukannya lebih daripada itu.
Kematangan politik juga bermakna kita tahu bila kita bangun keesokan hari dan perlu terus mencari makan, membina keluarga serta membela bangsa dan negara, walau apapun keputusan pilihan raya. – Berita Harian






