Lelaki hidup di kandang kambing dibantu

0

Category : Kedah

BALING: Penderitaan seorang warga emas yang hidup sebarang kara dan tinggal dalam kandang kambing di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil, dekat sini, mendapat perhatian beberapa jabatan kerajaan yang prihatin.

Ini termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Alor Setar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghantar pegawai untuk meninjau kehidupan warga emas itu, Ahmad Jusuff, 69.
 JPN menghantar pegawainya untuk mengambil cap jari untuk dihantar ke ibu pejabat jabatan itu di Petaling Jaya bagi mengesan butiran dirinya, selepas kad pengenalannya hilang ketika hidup berpindah-randah.

Ahmad berkata, pegawai JPN datang ke rumahnya beberapa hari lalu, selepas berita mengenai kesusahan yang dialaminya disiarkan akhbar ini Selasa lalu.

“Saya amat berharap JPN dapat membantu mempercepatkan urusan membuat kad pengenalan baru kerana kehidupan saya sukar disebabkan ketiadaan dokumen penting itu.

“Disebabkan tiada dokumen saya juga tidak dapat memohon bantuan JKM atau agensi kerajaan lain dan hidup hanya mengharapkan simpati masyarakat setempat,” katanya yang lega apabila kisah kesukarannya mendapat perhatian pelbagai pihak.

Akhbar ini Selasa lalu, melaporkan nasib Ahmad yang berasal dari Kampung Tanjung Pauh, Jitra dan datang ke Kampung Beras Sayak sebelum berpindah dan tinggal di kandang kambing milik seorang penduduk di Kampung Kuala Samak kerana dia tidak mempunyai keluarga dan tempat tinggal.

Dia yang sebatang kara kerana tidak pernah berkeluarga, hanya mempunyai seorang abang kandung yang dikenali sebagai Shaari yang terpisah sejak 12 tahun lalu.

Di satu ruang di kandang kambing itulah Ahmad tidur, bersolat dan memasak dengan menggunakan dapur kayu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Zakaria Che Amin, berkata beliau sudah berusaha membantu warga emas itu tetapi menghadapi masalah kerana dia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Baling, Syed Mohd Abd Ghani Syed Ali berkata, pihaknya menunggu pengesahan daripada JPN bagi membolehkan jabatan itu menyalurkan bantuan kepada Ahmad.

“Kita prihatin dengan masalah dihadapi warga emas berkenaan, tetapi perlu menunggu pengesahan JPN sebelum bantuan dapat disalurkan.

“Kita ingin membantunya kerana beliau semakin uzur,” katanya.-bharian

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]