Saya sudah dilahirkan pada zaman Tun Razak memerintah Malaysia sebagai Perdana Menteri. Namun usia yang masih bayi waktu itu membuatkan saya tidak tahu apa-apa mengenai konfrontasi Malaysia – Indonesia. Apa yang saya tahu kemudian, ia adalah penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia yang bermula dari tahun 1962-1963.
Menurut cerita emak dan abah kepada kami waktu itu, segalanya bermula apabila cita-cita Presiden Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya yang mencantumkan Tanah Melayu dengan Indonesia terhalang.
Sejak itu timbullah istilah ‘Ganyang Malaysia’. Ia membakar hati orang yang dewasa waktu itu, termasuk emak dan bapa saya. Saya masih ingat, apabila diminta bercakap mengenai hal itu, hidung mereka tetap kembang kuncup bercerita.
Kini akar perselisihan itu dibongkar kembali. Membenci Malaysia dan membenci Indonesia disemarakkan dengan pelbagai insiden. Bakar bendera, ancaman tombak runcing, demonstrasi jalanan dan serangan Internet serta penggodam terhadap laman web dan laman peribadi Malaysia bukan lagi rahsia. Ia berkembang menjadi idealis yang liar. Kefahaman dan persaudaraan menjadi tidak rasional lagi.
Pembantu rumah saya selalu bertanya, selamatkah kalau dia mengikut saya ke pasar malam – dia bimbang dicederakan oleh orang Malaysia. Saya katakan kalau takut dicederakan tak perlu di luar rumah, dalam rumah kami pun dia boleh dicederakan. Bukan setakat disimbah minyak panas atau dikenakan kejutan elektrik, malah dikerat 14 belas pun mungkin boleh berlaku jika kami ini jenis yang mudah diperdaya dengan adu domba media.
Kita lihatlah sentimen mereka dalam media Indonesia. Kita boleh baca hentaman mereka dalam laman web dan televisyen Indonesia. Malah kita tidak hairan dengan penunjuk perasaan (sebenarnya hanya satu kumpulan kecil sahaja) di jalanan. Gaya mereka, rupa mereka dan sikap mereka, seperti semua itu adalah satu rancangan, tak ubah seperti lakonan semata.
Semasa kecil dulu saya seronok mendengar siaran radio dengan kerjasama kebudayaan antara kedua-dua negara. Ia berlangsung sangat baik. Kami hanya mendengar radio sahaja ketika itu. Televisyen sudah ada tetapi keluarga tidak mampu memilikinya.Ketika itu ada kerjasama antara Radio Republik Indonesia (RRI) dengan Radio Malaysia. Lagu-lagu keroncong, berpadu dengan lagu zapin dan joget. Kami sekeluarga asyik mengikuti rancangan berkenaan dan turut sama menyanyi apabila Emelia Contessa dan Bob Tutipoly menyanyi. Hingga saya hafal lagu Bengawan Solo dan lagu-lagu nyanyian Ernie Djohan.Sekarang ini walaupun hubungan itu masih ada, ia dilihat bagaikan ‘kosmetik’ sahaja. Ia seperti pasu bunga yang sudah retak, menanti buluh runcing sahaja untuk ia jadi terbelah dan bersepai. Ia seperti air di dalam dulang yang akan tertumpah dengan sekali senggol sahaja� jangankan goyang pinggul Inul� Ia bukan lagi satu hubungan teman tapi mesra tetapi menjadi hubungan, teman tapi dusta. Antara kita sudah ada rasa curiga.
Pada masa sekarang kita lihat peranan media dan orang berkepentingan di Indonesia telah memburukkan lagi keadaan. Hubungan antara institusi menjadi tidak jujur. Apabila Malaysia dikatakan menjalin kerjasama ketenteraan dengan Inggeris dan Singapura, Indonesia terus sahaja memulakan latihan dengan Austaralia.
Komunikasi yang dulunya jujur sudah jadi sebaliknya. Rakyat bawahan telah menjadi alat untuk menyatakan pertentangan ini. Pemimpin-pemimpin kecil telah diupah untuk berada di jalanan. Mereka diberi bantuan kewangan dan makanan untuk menunjukkan bantahan terhadap Malaysia. Bantahan keras dan ganas menjadi faktor perhubungan elit politik Malaysia-Indonesia menjadi semakin kompleks.Rumpun yang diperjuang ini jika gagal ditangani akan menjadi lebih rosak. Bangsa Malaysia dan bangsa Indonesia yang dulu bangga dengan hubungan serumpun kini dilihat kian renggang. Walau usaha kian giat dijalankan untuk menjadikan semula rumpun ini lebih sihat dan rendang, namun ia bukan usaha yang mudah. Program insaniah, spiritual dan emosi ini mesti terus dibajai. Hanya dengan hati yang lembut, seketul batu yang keras dapat kita pecahkan bersama.
Benar, hubungan abang adik atau hubungan kakak dan adik antara Malaysia dan Indonesia ini boleh dimulakan dari dalam rumah kita. Sikap berbaik sangka, bersikap jujur dan hormat menghormati yang disemai akan dapat membantu menepis buluh runcing yang dihalakan kepada kita. Dan orang Indonesia yang kita kenal, jangan pula berniat untuk menabur pasir dalam makanan kita. Yang pentingnya akhbar-akhbar di Indonesia perlulah peka, Mereka jangan membuat spekulasi. Laporan tidak seimbang akan memburukkan lagi keadaan dan membuat suasana dalam kebimbangan.Apa yang berlaku di Padang, Sumatera adalah contoh terbaik. Dasar kemanusiaan saudara serumpun cuba kita pupuk dan baja. Bantuan terus disalur ke Padang, walau di Jakarta heboh dengan ancaman kelompok yang ingin mengganyang Malaysia.
Kita bantu atas dasar kemanusiaan dan ‘Saudara Serumpun’ dan ia tidak lebih daripada itu. Tetapi kalau rakyat Malaysia sahaja yang memikirkan begitu, sebaliknya rakyat Indonesia tidak memikirkan demikian, maka jawapannya perlu dijawab sendiri oleh rakyat Indonesia.
Pertelingkahan bantuan tamat tempoh dan insiden membaling batu terhadap pesawat C130 Hercules TUDM yang hendak mendarat bagi tujuan bantuan kemanusiaan di Padang, tidak langsung kita perbesarkan. Sememangnya ternyata ia hanya permainan pihak tidak bertanggungjawab.Bayangkan kalau rakyat kita terikut-ikut rentak mereka, mungkin satu bantuan kemanusiaan pun tidak akan sampai di Padang Sumatera Barat. Terima kasih rakyat Malaysia!- sinarharian






