Merangkak keluar dari lumpur sambil menangis, mencari ibu

0

Category : Luar negara

PARIAMAN (SUMATERA BARAT): “Dia merangkak keluar dari lumpur sambil menangis memanggil dan mencari ibunya,” kata seorang penduduk yang menemui Epa Poho, 5, yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang menenggelamkan kampung serta mengorbankan ibu bapanya, Rabu lalu.

Kanak-kanak itu yang ditemui keseorangan dengan keadaan bersalut lumpur, hanya mengalami luka di seluruh badan termasuk muka, telinga dan kaki apabila sebahagian Bukit Tandikek berhampiran Kampung Lubuk Laweh Tandikek di sini, runtuh berikutan gempa bumi berukuran 7.6 skala Ritcher.

Menceritakan detik cemas itu, Zahara Talua, 70, yang berjaya menyelamatkan diri dalam bencana itu, berkata Epa berlari ke arahnya ketika dia sedang mencari ahli keluarganya yang lain.

“Tiba-tiba entah dari mana datangnya, Epa yang ketika itu bersalut lumpur seluruh badan berlari ke arah saya sambil memanggil ibunya.

“Saya terus memeluk dan mendukung anak kecil itu kerana menyedari ibu dan bapanya sudah terkorban dalam runtuhan tanah,” katanya ketika ditemui di khemah sementara di kampung itu, semalam.

Dalam tragedi itu, kampung terbabit lenyap dan lebih 200 orang dilaporkan terkorban. Ibu Epa yang bisu serta bapanya juga dipercayai tertimbus.
DR SAZWAN Reezal Shamsuddin dari Hospital Kuala Lumpur (kanan) bersama Prebet Siti Wan Nor Azizah Wan Nasir (kiri) memeriksa Epa yang berjaya diselamatkan di Pairaman, Padang.

Ketika kejadian, ibu bapanya dikatakan berada dalam rumah manakala Epa – anak tunggal, bermain bersama beberapa rakannya berhampiran sebuah warung di depan masjid yang turut ditimbus tanah.

Zahara berkata, selepas mengelap badan Epa dengan kain batiknya, dia mendukung kanak-kanak itu mendaki bukit untuk ke kawasan selamat pada tengah malam itu juga.

“Saya gagahkan diri mendukung Epa mendaki bukit walaupun saya sendiri sebenarnya tidak begitu bertenaga dengan usia sebegini.

“Mujur ketika sampai di pertengahan jalan, ada seorang lelaki dari kampung berhampiran membantu membawanya ke atas,” katanya yang turut kehilangan 10 ahli keluarga dalam bencana itu.

Sehingga semalam, pasukan penyelamat termasuk pasukan Elit Smart Malaysia menemui 38 mayat, manakala selebihnya masih tertimbus dalam runtuhan tanah.

Sementara, Epa yang masih trauma dengan kejadian itu pada mulanya enggan membenarkan doktor dari Pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia merawatnya.

Bagaimanapun, selepas dipujuk dengan pelbagai cara, Epa akhirnya akur namun kelihatan takut sambil matanya tidak lepas memandang ibu saudaranya yang duduk disebelahnya.

Ibu saudaranya yang tinggal di kampung berhampiran, berkata dia akan menjaga Epa dan tidak akan menyerahkannya kepada sesiapa pun.

Post a comment

[ Online : 1015 hari. ]