Nama Port Dickson tidak perlu ditukar kepada nama lain kerana Port Dickson telah terkenal di serata dunia, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Apa salah dengan nama Port Dickson. Kita jangan ada satu fobia. Kita hidup ini jangan fobia sangat….itu tak boleh, ini tak boleh….macam-macam. Kita boleh buat sesuatu untuk kebaikan, tapi kerana disebabkan marah dengan penjajah, nama Port Dickson nak kita tukarkan,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Beliau mengulas laporan laman web kenapa masih hendak mengekalkan lagi nama penjajah di Negeri Sembilan dan adalah lebih baik ditukarkan nama Port Dickson ke Pengkalan Damai sepertimana di Kelantan, nama Pantai Cinta Berahi ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan.
Asal usul Port Dickson ialah apabila penjajah Inggeris memindahkan pelabuhan dari Pengkalan Kempas ke Tanjong dan diberi nama Port Dickson bersempena dengan nama pegawai penjajah Inggeris yang mengendalikan projek itu.
Mohamad berkata Port Dickson sudah terkenal dalam peta dunia dan jika hendak ditukar dengan nama lain agak sukar.
Katanya Port Dickson terkenal sebagai pantai peranginan pelancongan dan sudah mempunyai nama.
“Trademark ini jika nak dibangunkan mahal. Adalah sukar untuk bangunkan nama yang baik ini. Port Dickson adalah nama yang baik dan apa yang patut kita buat ialah memperkemaskan dan meningkatkan lagi produk pelancongan yang sedia ada di sini.
“Saya tak rasa nama Port Dickson itu menggambarkan kita tidak patriotik,” katanya.-bernama






