By Alhussen
Pelbagai andaian dilemparkan oleh pelbagai pihak apabila Mursyidul Am , Tuan Guru Nik Aziz menggesa supaya PAS mengadakan satu Muktamar Khas bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti berhubung isu kerajaan perpaduan.
Ada yang mendakwa bahawa pemikiran Tuan Guru telah dipengaruhi oleh beberapa orang tertentu yang kononnya telah menyuapklan maklumat yang kurang tepat hinggakan Tuan Guru mendapat maklumat yang salah.
Tidak kurang juga yang cuba memberikan pandangan secara halus bahawa tindakan Tuan Guru tersebut adalah satu tindakan yang gelojoh, salah dan bersifat peribadi dengan alasan bahawa Ulama adalah manusia yang bukan maksom ; terdedah kepada perlakuan salah dan silap.
Tidak kurang pula yang menuduh bahawa ini adalah hasil gerak kerja golongan yang kalah sewaktu pemilihan jawatan di Muktamar ke-55 yang baru lalu.
Terdapat juga beberapa tuduhan yang melampau turut dilontarkan yang kononnya puak IRC dan Syiah mula mahu mengambil aleh kepimpinan dalam PAS?
Walau apapun tuduhan dan andaian yang dilemparkan bagi menjustifikasikan pendirian mereka yang menentang cadangan TGNA berhubung isu tersebut, Tuan Guru tetap bertegas dengan katanya, “Saya tidak akan menarik balik cadangan itu kerana ia dibuat atas hasrat dan isi hati saya sendiri yang mahu menyelamatkan parti,” Lihat di sini
Selangor merupakan negeri pertama yang mengambil langkah awal-awal lagi menolak cadangan bagi mengadakan Muktamar Khas tersebut.Sementara negeri-negeri lain belum menunjukan sebarang riak berhubung isu tersebut.Mungkin Terengganu akan mengikuti langkah Selangor selepas ini?
Walau bagaimana pun, menurut Fasal 16 Bab Ke 5 Perlembagaan PAS, Muktamar Khas PAS boleh diadakan beberapa kali dalam setahun sekiranya dikehendaki oleh presiden atau dengan permintaan bersurat daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau satu pertiga daripada PAS Kawasan-kawasan.
Tuan Guru Nik Aziz turut menafikan bahawa cadangan itu dibuat kerana terpengaruh oleh individu tertentu dalam politik.Beliau berkata beliau sudah matang dalam politik dan tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak.
Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub yang turut menemui TGNA , berkata pimpinan tertinggi PAS akan membincangkan amanat Mursyidul Amnya itu berhubung cadangan mengadakan muktamar khas parti itu dalam masa terdekat ini.
Jelas kini, bahawa gesaan TGNA untuk mengadakan Muktamar Khas tersebut bukan disebabkan dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan jauh sekali kerana mahu menjaga kepentingan kelompok tertentu. Apa yang penting bagi TGNA adalah untuk menyelamatkan parti.






