KUANTAN: Seorang lelaki terpaksa menerima sembilan jahitan di muka dan keningnya selepas dibelasah dengan topi keledar oleh seorang tomboi yang juga kekasih adik perempuannya dalam satu kejadian di Jalan Mahkota, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 24 tahun dari Permatang Badak, dekat sini, dikatakan keluar ke bandar ini untuk mencari adik perempuannya berusia 19 tahun yang sudah tiga hari tidak pulang ke rumah sebelum menemui adiknya itu melepak bersama rakannya di tempat kejadian, kira-kira jam 9.30 malam.
Pegawai Turus di Jabatan Urus Setia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata selepas mencari di sekeliling bandar itu, mangsa ternampak adiknya dan rakan perempuannya itu di depan sebuah kompleks beli-belah.
“Mangsa kemudiana merapati adik perempuannya itu dan memujuknya supaya mengikutnya pulang.
“Ketika mangsa memujuk adiknya, dia tiba-tiba dia diserang rakan perempuan adiknya itu yang kemudian memukulnya bertubi-tubi menggunakan topi keledar.
“Mangsa tidak sempat berbuat apa-apa kerana diserang secara mengejut dan akibat pukulan itu, mangsa rebah dan cedera di muka,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, selepas melihat mangsa rebah akibat serangan itu, tomboi terbabit dan adik perempuan mangsa melarikan diri meninggalkan mangsa menanggung kesakitan seorang diri.
“Mangsa yang terpaksa menahan kesakitan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kira-kira jam 3 pagi,” katanya.
Noor Asyikin berkata, mangsa mendakwa tidak mengetahui sebab dipukul secara tiba-tiba oleh tomboi terbabit tetapi tidak menolak kemungkinan tomboi itu marah kerana dia mahu membawa pulang adiknya.
Berikutan kejadian itu, polis menjalankan gerakan memburu tomboi itu dan adik perempuan mangsa bagi membantu siasatan.






