Garang tapi terbilang

0

Category : umum

Artikel diambil drp Warta Perdana

Kegigihan Pak Samad turun padang asuh wartawan sukar dicari ganti. Namun, watak gerun itulah sebenarnya melahirkan ramai wartawan berkaliber dan tokoh politik terkenal negara.

Tidak sah berguru dengan Pak Samad kalau tidak kena sergah. Bohonglah mengaku jadi anak murid Pak Samad kalau tidak kena hamburan kata-kata keras dari mulutnya.

Siapa tidak tahan dengan sikap kerasnya pasti serik dan bertaubat jadi orang surat khabar. Sebaliknya, kalau sabar dan ikut segala petuanya, percayalah, kita pasti muncul sebagai wartawan disegani suatu hari nanti.

Tidak itu sahaja, ramai wartawan terkenal akhirnya memanjat bangunan Parlimen atau memasuki Dewan-Dewan Undangan Negeri sebagai Yang Berhormat.

Semuanya hasil asuhan gigih Pak Samad.

Saya mula bertemu Pak Samad pada 1973. Ketika itu Persatuan Penulis Perlis (3P) menganjurkan Bengkel Penulisan di sebuah sekolah menengah di Bandar Kangar. Saya terus mencari Rejab F.I., Mokhtar A.K, Nahmar Jamil, Fawana dan Cheng Poh Hock untuk mendaftar sebagai peserta.

Saya sangat seronok dapat bertemu Pak Samad. Mudah-mudahan saya juga berjaya jadi wartawan terkenal dan daam masa sama muncul sebagai penulis kreatif popular.

Tidak ramai wartawan mampu jadi cerpenis atau novelis dalam satu masa. Tapi Pak Samad berjaya melakukannya. Dia mampu menghasilkan cerpen dan novel bermutu di sambil muncul tokoh wartawan cukup disegani.

“Hey budak gigi serpih…engkau pun nak jadi penulis? Kencing pun bercabang…!” Sergah Pak Samad ketika saya ikut menyambut beliau.

Saya mula menggeletar. Menyesal bersalam dengan dia. Dalam hati mula rasa malas berguru dengan orang tua kurus itu.

Saya bercadang tinggalkan kursus, tapi Nahmar dan Cheng Poh Hock nasihatkan saya supaya cekal dan sabar.

Malamnya ketika saya kemukakan beberapa hasil tulisan kepadanya untukdinilai sekali lagi saya kena sergah dengan Pak Samad. “Engkau ni nak jadi pemberita atau penulis cerpen?”

“Dua-dua..,” jawab saya.

“Mana boleh dua-dua sekali. Pilihlah satu saja…engkau kencing pun bercabang, nak tunjuk handal!” Sergah Pak Samad lagi.

Apabila melihat saya lama terdiam akhirnya Pak Samad berkata, “Engkau jadi pemberita cabuk sajalah dulu. Buat berita.”

“Tapi saya minat buat cerpen dan sajak,” saya bantah.

“Berita nak buat. Cerpen dan sajak pun engkau nak buat. Mana satu engkau nak buat ni? Eangkau kencing betul tak?” kali ini suara Pak Samad makin meninggi.

“Saya dah banyak tulis cerpen dan sajak,” jawab saya menggigil.

“Kau buat berita sajalah. Tulis berita. Hantar ke Berita Harian,” kata Pak Samad.

Atas nasihatnya saya kirimkan setiap minggu berita kegiatan setempat ke Berita Harian. Atas arahannya, semua berita itu saya kirimkan terus kepada Pak Samad.

Walaupun berita itu cuma dua atau tiga para sahaja keluar, namun di bawah berita itu tercatat nama saya. Dan selepas berita itu tersiar saya menerima pula salinan asal yang telah disunting oleh Pak Samad dengan dakwat merah. Semua berita suntingan Pak Samad itu saya simpan dan dengan bangganya saya tunjukkan pada kawan-kawan.

Apa yang ingin saya tekankan di sini sikap gigih Pak Samad mencungkil, mendidik, mengasuh dan menggilap bakat baru di bidang kewartawanan. Walaupun ketika itu dia berjawatan tinggi dan bergaji besar, namun dia masih setia turun ke setiap daerah mendidik bakat baru.

Dia cuma kasar dan tegas tetapi tidak sombong.

Lain dengan kebanyakan ketua-ketua pengarang era sekarang, mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan pemimpin besar negara daripada bergelumang dan bergaul dengan pemberita daerah.

Cara bimbingan tokoh pengarang era sekarang tidak tekun seperti Pak Samad. Pak Samad sanggup meluangkan masa menyunting berita daripada pemberita daerah atau penulis sambilan dan setiap pembetulan itu dikirimkan kembali kepada penulis berkenaan untuk dijadikan panduan.

Kata seorang kawan, sesiapa berguru dengan Pak Samad pasti jadi wartawan hebat.

Kini Tan Sri Samad Ismail sudah tiada. Yang tinggal cuma gurauan dan suara kasarnya mendidik anak muda calon wartawan, selain sejumlah karya yang mengagumkan.

Dia tidak kaya raya seperti tokoh-tokoh wartawan sekarang, namun dia cukup dihormati dan disegani.

Apalah salahnya kerajaan memberi penghormatan kepada Pak Samad dengan memilih sebatang jalan atau sebuah dewan untuk dinamakan Jalan Samad Ismail atau Dewan Samad Ismail.

Tentu ramai bangga melihatnya, tanda penghormatan tidak ternilai di atas pengorbanan Pak Samad mengemudi kewartawanan negara.

Post a comment

[ Online : 387 hari. ]