Janin tersangkut dalam longkang

0

Category : umum

ALOR SETAR – Ketika umat Islam sedang sibuk meraikan Aidiladha petang kelmarin, penduduk Kampung Keda Derang, Pokok Sena, dekat sini, gempar dengan penemuan janin dalam longkang di kampung berkenaan.

Janin yang masih bertali pusat itu ditemui seorang kanak-kanak, Mohd Saiful Izzat Sofian, 9, yang pada mulanya menyangka, itu adalah anak patung lalu cuba mengambilnya.

Mohd Saiful berkata, pada mulanya, dia menyangka janin itu anak patung yang terapung di dalam longkang dan cuba untuk mengambilnya.

“Dari jauh saya nampak macam anak patung, jadi saya cuba mengambilnya tetapi apabila ternampak ada tali pusat, saya dan kawan-kawan terus berlari meninggalkan kawasan itu.

“Saya terkejut dan berlari pulang memaklumkan kepada penduduk kampung tentang kejadian itu,”katanya.

Janin yang dimasukkan dalam plastik berwarna merah itu dipercayai berusia empat bulan, bersaiz sebesar tapak tangan dan masih bertali pusat ketika ditemui. Ia dipercayai dicampak ke dalam longkang dan tersangkut di celah-celah sampah di lokasi ia ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung penemuan janin itu dan ia telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, polis akan cuba mengesan ibu janin itu menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis sedang menyiasat kes itu dengan teliti dan setakat ini, belum ada tangkapan yang dibuat.

“Kita akan mendapatkan laporan perubatan bagi memastikan maklumat lanjut janin itu termasuk jantina dan usia sebenarnya,”katanya.

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]