Jemaah Haji Malaysia Dijangka Mengepos Pulang 300 Tan Bagasi

0

Category : umum

MEKAH, Jemaah haji Malaysia dijangka mengepos barangan seberat antara 250 dan 300 tan ke tanah air, sebahagian besarnya barangan cenderahati dan buah kurma, demikian menurut TH Travel & Services Sdn Bhd.

Selain itu, jemaah haji Malaysia juga dijangka menghantar pulang 260,000 liter air zam-zam, termasuk lima liter yang dibekalkan oleh Tabung Haji kepada setiap jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Mejar (B) Mohd Ramli Othman berkata pihaknya menguruskan perkhidmatan pengiriman barang untuk jemaah menerusi tiga syarikat Malaysia iaitu Pos Malaysia, Nationwide dan Ramal Group.

“Setakat ini, lebih 87 tan bagasi serta hampir 50,000 liter air zam-zam sudahpun dikirim pulang oleh jemaah haji,” katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini pada hari Ahad.

Ditanya sebab perkhidmatan bagasi dikendalikan oleh tiga syarikat, beliau berkata pihaknya percaya langkah itu merupakan satu ‘business cake’ yang besar.

“Jadi elok sekiranya ia tidak dimonopoli oleh satu pihak dan diberikan kepada lebih daripada satu syarikat bagi mewujudkan persaingan yang sihat,” katanya.

Mohd Ramli berkata kos penghantaran bagasi oleh ketiga-tiga syarikat itu bagaimanapun ditetapkan oleh TH Travel iaitu 15 Saudi Riyal (SR) sekilogram bagi bagasi dan 120 SR bagi setiap 10 liter air zam-zam untuk penghantaran ke Semenanjung.

Bagi penghantaran ke Sabah dan Sarawak pula, katanya caj yang ditetapkan ialah 20 SR sekilogram bagi bagasi dan 125 SR bagi setiap 10 liter air zam-zam.– BERNAMA

Post a comment

[ Online : 392 hari. ]