Liyana Pilih Pengkhususan Membuat Alatan Tradisional Mak Yong

1

Category : Karya Seni

TIDAK seperti remaja lain yang sebaya dengannya, Nur Liyana Che Mohd memilih bidang pengkhususan yang unik di akademinya.

Pelajar Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan muzik ini memilih subjek pembuatan alat-alat seni tradisional Mak Yong.

“Saya ingin memilih bidang yang tiada persaingan.

“Sebenarnya, saya adalah wanita pertama dalam Aswara yang menceburi bidang ini,” jelas anak gadis yang berumur 21 tahun itu apabila dihubungi semalam.

Anak gadis ini pandai membuat alat-alat muzik tradisional seperti penggesek rebab, rebab, serunai dan maruas. Beliau juga adalah antara dua pelajar yang mengikuti mata pelajaran itu di Aswara.

Minatnya untuk mengambil pengkhususan pembuatan alat-alat muzik tradisional tercetus selepas melihat pensyarahnya Pak Mail, yang mahir mengukir watak-watak wayang kulit.

Apabila ditanya kenapa Liyana berminat membuat alat-alat tradisional, gadis ini tidak mahu kemahiran membuat alat-alat tradisional pupus begitu sahaja.

“Sebagai seorang pemuzik, saya mesti ada kemahiran untuk memperbaiki alat-alat muzik saya sendiri.

 “Ianya adalah satu seni halus dan sejujurnya saya memang berminat sekali untuk mendalami kemahiran membuat alat-alat tradisional yang digunakan untuk persembahan Mak Yong,” kata Liyana.

Minat Liyana dalam bidang membuat alat-alat muzik timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi iaitu ketika umurnya 10 tahun.

“Saya suka melihat orang-orang kampung saya membuat persembahan Mak Yong.

“Secara automatik saya akan berada di situ untuk menontonnya walaupun tiada sesiapa dalam rumah saya yang meminati seni ini,” kata gadis Kelantan berkulit kuning langsat ini.

Pada mulanya, anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini merahsiakan minat ini dari kedua-dua orang tuanya.

Hanya apabila menerima surat yang memaklumkan Liyana perlu membeli alat-alat muzik tradisional seperti rebab dan serunai, baru ibu bapanya dapat tahu perkara sebenarnya.

“Mereka pada mulanya tidak marah tetapi menyoal sama ada pengkhususan ini akan menjamin masa depan saya.

“Saya memaklumkan kepada mereka yang inilah bidang yang ditakdirkan untuk saya,” kata Liyana.

Sementara itu, Liyana bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Aswara selepas menamatkan diplomanya pada tahun depan.

Di sekolah, Liyana pernah mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan bermain alat-alat tradisional seperti canang, kesi gendang ibu dan anak.

Liyana juga boleh bermain piano dan serunai.

Anak muda ini juga pernah memenangi pertandingan Gerkorama selama tiga tahun berturut-turut iaitu dari tahun 2002 sehingga 2004 dan menggondol anugerah Tokoh Bakat Muda Seni yang dianugerahkan oleh Pengarah Kebudayaan Negeri Kelantan pada tahun 2003.

“Walaupun ramai di luar sana yang mungkin tidak meminati seni ini, saya pasti ianya satu kemahiran unik dan bukan semua orang mampu menguasainya,” akhiri Liyana.-mstar

Comments (1)

salam kini2u.com
saya marina dari bright network, ingin membuat dokumentari tentang proses pembuatan serunai. di sini saya ingin meminta bantuan kini2u.com untuk mendapatkan maklumat tentang Nur Liyana Che Mohd yang boleh membuat serunai. saya boleh dihubungi melalui email saya : marinamirana@yahoo.com atau menghubungi terus ke 012- 2291914.
terima kasih atas kerjasama pihak kini2u.com
salam.

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]