KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan wujudnya amalan baiah atau sumpah taat setia akan jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati atau keluar parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali, berkata Hadi membuat arahan itu selepas isu berkenaan dilaporkan media, minggu lalu.
Katanya, beliau sudah pun memulakan siasatan, namun setakat ini Jawatankuasa Pusat atau Majlis Syura Pas menafikan pernah mengarahkan wakil rakyat parti itu melakukan baiah talak tiga.
“Saya juga telah menghubungi beberapa wakil rakyat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mereka juga memberitahu tidak pernah melakukannya. Saya sendiri terkejut dan tidak tahu mengenai kewujudan baiah itu sebelum ini.
“Kalau baiah biasa yang meminta taat setia kepada parti adalah… tidak sampai membabitkan jatuh talak tiga,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Ditanya sama ada beliau akan menyiasat Dewan Ulama Pas yang dikatakan mengeluarkan arahan itu dan wakil rakyat dari Selangor yang mengakui mengakui kewujudan amalan itu, Mustafa berkata, dakwaan itu sedang disiasat.
Minggu lalu, akhbar melaporkan pendedahan beberapa pemimpin Pas berhubung baiah talak tiga yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti termasuk melompat parti.
Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib bagaimanapun berkata, sepanjang menerajui Dewan itu, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan supaya baiah seumpama itu dilakukan.
“Baiah taat setia memang ada dilakukan yang berbunyi ‘saya bernama sekian yang dipilih menjadi calon pilihan raya sama ada menang atau kalah, berjanji bersungguh-sungguh tidak akan mengkhianati parti’… itu saja,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa, menegaskan perbuatan baiah tidak salah di sisi agama.
“Kenapa salah? Apa hukum mengatakan ia salah. Mana ada mufti kata baiah salah. Saya suka hati, sukarela melakukan baiah kerana tak nak lompat parti dan tahu tidak akan lompat parti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Husam berkata, baiah adalah untuk melindungi amanah yang diterima daripada rakyat supaya tidak mengkhianati parti atau melompat parti.
Beliau turut menuduh isu berkaitan baiah sengaja ditimbulkan oleh Umno selepas gagal membeli wakil rakyat pembangkang di Selangor, Kedah dan Kelantan.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, baiah atau sumpah taat setia memang dilakukan oleh pemimpin parti pada hari pertama mereka memegang jawatan, tetapi ia sama seperti sumpah jawatan dan simpan rahsia kerajaan.
Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata pemimpin atau wakil rakyat Pas di Kedah tidak pernah diminta melakukan baiah cerai talak tiga.
“Tidak ada arahan seperti itu. Isunya sekarang tiada siapa mahu menceraikan isteri malah nak tambah lagi adalah,” katanya berseloroh.
Taib Azamudden (Pas-Baling) juga menegaskan soal baiah tidak pernah diputuskan dalam mana-mana peringkat dalam Pas.
“Cuma yang ditimbulkan adalah spekulasi yang saya rasa bermotif politik. Kita sedang siasat siapa yang kata benda ini wujud dalam Pas… ini satu dongeng yang ditimbulkan pihak lain,” katanya.







