KUALA KLAWANG- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan pelantikan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor adalah sebagai satu gimik semata-mata.
Katanya negeri Selangor mempunyai ekonomi yang teguh, dan pelantikan Anwar ini tentunya merupakan satu gimik untuk menunjukkan yang PKR boleh ‘survive’ dalam satu ruang baru dengan satu imej yang baru.
“Tapi sebenarnya ini ibarat menjual air lama dalam botol yang lama,” katanya dan menambah gimik ini kadangkala boleh dijual, tapi kebanyakan masa ia ‘tidak laku’.
Beliau yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata demikian semasa mengulas langkah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam yang mengumumkan pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor.
Rais ditemui pemberita selepas perasmian penutup hari terbuka sekolah dan asrama Sekolah Kebangsaan Putra (SKP) dan kempen kesedaran pendidikan Orang Asli Daerah Jelebu di SKP, Simpang Durian dekat sini, hari ini.–
Anwar Penasihat Ekonomi Selangor
SHAH ALAM – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor dengan bayaran gaji sebanyak RM1 sebulan berkuat kuasa semalam.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bertujuan memperkasakan dan memantapkan agenda pembangunan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Menurutnya, bayaran gaji serendah RM1 sebulan tersebut hanya sebagai simbolik untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau sanggup bekerja dengan bayaran semurah itu tanpa mementingkan nilai wang ringgit.
“Pelantikan itu dibuat memandangkan Anwar pernah menjadi penasihat ekonomi dalam sebuah syarikat perbankan Islam terkemuka di dunia dan beberapa lagi syarikat terkemuka lain.
“Anwar juga telah bersetuju dengan pelantikan itu dan Kerajaan Negeri akan membuat surat perlantikan beliau selepas Mesyuarat Mingguan Exco, Rabu ini,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.
Abdul Khalid bagaimanapun menegaskan, pelantikan Anwar bukan dibuat atas dasar kepentingan politik semata-mata, sebaliknya kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang ekonomi perlu dikongsi bersama Kerajaan Negeri.
“Nasihat Anwar amat diperlukan dalam mengurus tadbir beberapa projek pembangunan termasuk memulihara Sungai Klang yang akan dilaksanakan Kerajaan Negeri.
“Kita harap perlantikan ini, segala usaha Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar dilihat berperanan untuk mempromosi Selangor ini sebagai ‘Islamic Hub’ di rantau ini.-sinar






