Oleh – ZULKIFLI SALLEH
Bukanlah mudah untuk menghasilkan sebuah biografi seorang pemimpin negara yang baru sahaja memegang jawatan Perdana Menteri.
Lebih-lebih lagi pemimpin berkenaan hari demi mendaki tangga popularitinya dan kini semakin lama semakin menghakis segala persendaan yang dilakukan oleh pihak tertentu dan beberapa media asing.
Namun, penulis pasangan suami isteri, Yusof Harun dan Noor Asmah M.N membuktikan keupayaan mereka yang luar biasa untuk menghasilkan sebuah buku setebal 936 halaman hitam putih dan 64 halaman warna. Edisi awal Najib: Perdana Menteri Ke-6 telah dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri sendiri, iaitu Datin Seri Rosmah Mansor kira-kira dua bulan lalu. Selepas itu, pengarang melakukan beberapa penambahbaikan untuk diterbitkan dalam edisi semakan.
Sesungguhnya, membaca buku ini akan mendorong pembaca mengatakan ini bukan sekadar sebuah biografi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Buku yang mengandungi 20 bab ini bukan sahaja sarat dengan fakta sejarah dan peristiwa, bahkan juga lengkap dengan dokumentasi yang boleh dijadikan rujukan. Tidak syak lagi, kedua-dua pengarang menjalankan kajian yang mendalam dan mempunyai pembacaan yang luas serta berusaha gigih untuk menghasilkan sebuah yang cukup penting dan signifikan ini.
Najib Perdana Menteri Ke-6 bermula dengan “Najib yang Saya Kenali” yang ditulis oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zaid Hamidi, Menteri Pertahanan, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Najib semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, di samping bersama-sama Najib dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Penulisan Zahid Hamidi dalam buku ini dari segi konsep penerbitan boleh dianggap sebagai kata pengantar, walaupun tidak dinyatakan sedemikian. Bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang politik atau mengetahui hubungan pegawai dengan bosnya yang bertaraf menteri, bab ini menghidangkan sesuatu yang cukup berharga. Sememangnya, Yusof dan Asmah membuat keputusan yang tepat dengan meminta Zahid menulis bab ini.
Sesungguhnya, bukan sesuatu yang luar biasa jika seseorang anak menggantikan ayahnya, baik sebagai Presiden mahupun Perdana Menteri melaui proses demokrasi. Hal ini dapat dilihat berlaku di beberapa buah negara, seperti Amerika Syarikat, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Yang dianggap luar biasa ialah apabila si anak yang tidak dipersiapkan oleh ayahnya akhirnya muncul sebagai Presiden atau Perdana Menteri.
Seperti yang disentuh dalam buku ini, Allahayarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua tidak mengasuh anakandanya Najib untuk menceburi bidang politik dan jauh sekali mengimpikan putera sulungnya menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya, Tun Abdul Razak bercita-cita Najib membina kerjaya sebagai akauntan dengan mengikut langkah Raslan Datuk Abdullah, Pengerusi Bank Bumiputra yang pertama.
Namun, pemergian Tun Abdul Razak secara tiba-tiba mengubah segala-galanya untuk Najib. Sebagai mengenang jasa Tun Abdul Razak yang melaksanakan pelbagai dasar, seperti ekonomi, pendidikan dan budaya, dan sebagai tanda kecintaan yang mendalam terhadap beliau, Najib yang masih remaja ditarik masuk ke bidang politik tanpa sebarang persediaan. Anak muda yang ketika itu berkhidmat di Petronas memulakan kerjaya baru. Bermula dengan menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Pekan – kawasan yang diwakili oleh ayahanda, Najib sedikit demi sedikit mengharungi dunia politik yang cukup bergelora dan sangat mencabar.
Tidak kurang pula andaian bahawa kerjaya Najib dalam politik tidak akan bertahan lama lalu dijangkakan apabila Tun Hussein Onn meletakkan jawatan Perdana Menteri, bintang Najib akan menjadi malap. Walau bagaimanapun, Najib berjaya membuktikan bahawa segala andaian dan jangkaan itu meleset sama sekali.
Meskipun Najib tidak sempat berguru dengan ayahandanya, namun seperti yang ingin ditunjukkan dalam buku ini, beliau mempunyai kebijaksanaan dan cukup matang dalam percaturan politik. Pengalamannya yang luas, iaitu sebagai timbalan menteri, Menteri Besar, dan menteri serta memegang beberapa jawatan dalam UMNO, ditambah dengan pembacaan yang mendalam membolehkan Najib terus mara dan memperkukuhkan kedudukannya.
Sesiapa yang membaca buku Najib: Perdana Menteri Ke-6 pastinya memekarkan semula nostalgianya terhadap Tun Abdul Razak yang pemergiannya diratapi oleh setiap lapisan rakyat Malaysia. Beliau yang bertarung dengan maut dan berhadapan dengan cabaran politik daripada Tun Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri Sabah dan Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor, masih mempunyai keazaman yang berkobar-kobar untuk membangunkan Malaysia dan memakmurkan rakyat. Bab yang berkaitan dengan Tun Abdul Razak pastinya juga mempersegarkan ingatan para pembaca tentang sumbangan dan jasa Allahyarham. Ini diperkukuhkan lagi oleh pandangan dan penilaian Tengku Razaleigh Hamzah yang mempunyai hubungan rapat dengan Tun yang dipetik dengan terperinci dalam buku ini.
Memandangkan darah Bugis mengalir dalam diri Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Mohd. Najib, kedua-dua pengarang mengkaji dan mengetengahkan sejarah Bugis dengan mendalam. Salasilah Bugis, kepahlawanan, pengembaraan dan penglibatan mereka dalam pergolakan politik di negeri-negeri Melayu digambarkan secara terperinci dan sungguh menarik. Membaca bab ini tidak ubah seperti membaca buku sejarah, dan di sinilah terletaknya salah satu keistimewaan buku ini. Pendek kata, pengarang bukan sahaja memaparkan peristiwa masa kini dan masa lalu yang terdekat, bahkan juga mengajak para pembaca meninjau zaman lampau yang berlalu sejak beberapa abad.
Selain memaparkan hobi Najib membaca dan bermain golf, buku ini mengetengahkan prinsip Najib: kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada ketua dan parti. Najib sentiasa bersama-sama ketuanya, baik semasa senang mahupun semasa susah. Bagi sesiapa yang mengikuti siaran langsung pembentangan Bajet 2009 oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi tentunya masih ingat mukadimah beliau, “kawan ketawa senang dicari, kawan menangis susah dicari” sambil menepuk bahu Datuk Seri Mohd. Najib dan berkata “Datuk Seri Najib kawan yang setia.”
Apabila Barisan Nasional (BN) kehilangan empat buah negeri serta menawn Kelantan dan gagal memperoleh dua pertiga majoriti di Parlimen, desakan agar Tun Abdullah meletakkan jawatan daripada ahli UMNO semakin kuat. Seperti yang dinyatakan dalam buku ini, Najib menerima desakan daripada pelbagai pihak agar beliau mencabar kepimpinan Tun Abdullah.
Namun, Najib tetap tidak berganjak daripada kesetiaannya terhadap pucuk pimpinan parti dan jauh sekali untuk menikamnya dari belakang. Beliau sedar jika beliau mengambil tindakan itu, beliau bukan sahaja mengaibkan Tun Abdullah, bahkan juga beliau mengheret parti ke dalam perpecahan. Bagi beliau, tidak ada gunanya beliau menjadi ketua, sedangkan UMNO-BN porak-peranda. Meskipun tidak dinyatakan secara jelas mengapa Najib mengambil pendirian sedemikian, mungkin beliau belajar daripada kesilapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merancang menjatuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berlakunya krisis kewangan Asia pada tahun 1997-1998.
Sesebuah buku biografi tidak akan sempurna tanpa menyentuh keluarga terdekat tokoh berkenaan. Selain membincangkan kehidupan Tun Razak secara mendalam dan sedikit banyak tentang Tun Rahah, satu bab khusus buku ini menyentuh ketabahan dan kesetiaan Datuk Seri Rosmah Mansor, walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap suaminya.
Diterbitkan oleh Titisan Putih Sdn Bhd, Najib: Perdana Menteri Ke-6 diedarkan oleh Rekafurn Sdn Bhd, pada harga RM95 senaskhah. Buku bukan sekadar sebuah biografi, tetapi juga sebagai catatan sejarah dan pendokumentasian. Oleh itu, buku ini sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia, seperti pelajar, guru, pensyarah, golongan profesional, orang ramai dan sebagainya. -sinar






