Tukang tilik hadapi hukuman mati

0

Category : umum

RIYADH: Kumpulan hak asasi antarabangsa membantu seorang warga Lubnan yang dituduh menyihir dan ditahan pihak berkuasa Arab Saudi tahun lalu, dengan menggesa Riyadh membatalkan hukuman mati ke atas Ali Sibat pada 9 November tahun lalu.

Human Rights Watch juga menggesa kerajaan Arab Saudi berhenti daripada sikap suka menuduh seseorang itu terbabit dalam jenayah sihir, sedangkan maksudnya samar-samar tetapi dikemukakan dengan sewenang-wenangnya.

Laporan itu menekankan, banyak aduan diterima mengenai sistem perundangan Arab Saudi yang walaupun berasaskan undang-undang Islam, membenarkan hakim membuat keputusan hingga hukuman dikenakan tidak konsisten.

 Ali, seorang tukang tilik yang membuat ramalan dalam program televisyen satelit dari rumahnya di Beirut, ditahan polis agama di Madinah ketika mengerjakan umrah pada Mei 2008.

Beliau adalah antara sekumpulan orang yang ditahan setiap tahun atas tuduhan mengamalkan ilmu sihir, membuat pemujaan, mempraktikkan ilmu hitadan menilik nasib. Amalan seperti itu dianggap kerajaan Arab Saudi menyebabkan seseorang itu murtad.

Tiada pegawai dapat dihubungi untuk mengulas kes Ali atau menawarkan maklumat berapa ramai yang dihukum mati atas kesalahan itu. Pejabat kerajaan ditutup kerana Aidil Adha.

Laporan Human Rights Watch mendedahkan beberapa kes di negara itu termasuk wanita tempatan, Fawza Falih yang dijatuhi hukuman pancung pada 2006 atas tuduhan menggunakan jin dan melakukan pemujaan dengan membunuh haiwan.

Pada 2 November 2007, Mustafa Ibrahim, seorang ahli farmasi Mesir dihukum gantung kerana melakukan sihir di sini selepas didapati bersalah cuba menggunakan sihir untuk memisahkan suami isteri, kata kumpulan hak asasi itu.

Dalam satu lagi kes, sebuah mahkamah jenayah di Bandar Pelabuhan Barat di Jeddah mensabitkan seorang warga Eritrea, Muhammad Burhan pada Oktober 2006, kerana menipu berdasarkan buku telefon kulit peribadi mengandungi tulisan bahasa Tigrinya yang menjadi abjad Eritrea.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan 300 sebatan dan kemudian diusir selepas menghabiskan dua kali ganda tempoh hukuman dalam penjara.  -bharian

Post a comment

[ Online : 1016 hari. ]