Cara atasi bau badan

0

Category : umum

ANTARA perkara paling tidak disenangi apabila bersesak dalam kenderaan awam ketika pulang daripada kerja ialah terpaksa menghidu pelbagai bau badan dan masalah ini biasanya lebih ketara pada cuaca panas.

Bau badan berpunca daripada kurangnya penjagaan kebersihan diri. Ramai menyangka bau badan datang daripada peluh.

Sebenarnya peluh tiada bau kerana bau ini hanya timbul selepas peluh kering dan ia disebabkan tindakan bakteria yang wujud secara semula jadi di atas kulit.

Tindakan bakteria untuk menguraikan peluh inilah yang menimbulkan bau. Selain itu makanan boleh menyumbang kepada bau badan. Peluh mengandungi protein atau minyak daripada bawang merah, bawang putih, kari dan makanan berempah mempunyai bau lebih kuat.

 Keadaan menjadi lebih teruk jika kita memakai pakaian yang tidak menyerap peluh. Peluh yang terperangkap ini menyebabkan kulit (khususnya di bahagian yang banyak kelenjar peluh seperti di ketiak, kaki dan celah kangkang) menjadi lembap dan keadaan ini merangsang aktiviti bakteria.

Tanpa disedari, kulit kita juga bernafas seperti hidung. Sesetengah berpendapat orang yang ada masalah bau badan kuat, penggunaan losyen, krim, deodoran dan bahan anti peluh membuatkan peluh anda berbau lebih kuat kerana menghalang kulit daripada bernafas dan menyekat peluh.

Cara terbaik ialah menjaga kebersihan diri, kerap mandi (sekurang-kurangnya dua kali sehari) dan gunakan sabun atau cecair mandian, terutama ketika cuaca panas.

Pastikan anda menggosok bahagian yang kerap berpeluh bagi membuang sel mati dan membuka liang roma. Kaedah ini merangsang peredaran darah dan secara tidak langsung membantu melancarkan proses penyingkiran bahan toksik.

Selain itu, kerap cukur bulu pada bahagian ini kerana ia boleh memerangkap lebih banyak peluh dan merangsang aktiviti bakteria. Pakai pakaian diperbuat daripada kain kapas atau fabrik yang boleh menyerap peluh dengan baik.

Anda boleh memilih untuk menggunakan deodoran atau bahan anti peluh. Deodoran tidak menghentikan peluh, tetapi harumannya boleh mengatasi bau badan yang kurang menyenangkan. Malah, kebanyakan deodoran kini mengandungi bahan anti bakteria untuk memperlahankan aktiviti bakteria yang menyebabkan bau badan.

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Daripada segi pemakanan, ada pakar pemakanan menyarankan supaya mengurangkan pengambilan makanan berproses, awet dan mengandungi banyak pewarna.

Kurangkan juga pengambilan gula, kafein dan alkohol. Bagi perokok, kurangkan merokok dan lebih baik jika dapat meninggalkan terus tabiat buruk ini.

Pada masa masa, kita perlu minum lebih banyak air iaitu sekurang-kurangnya satu liter sehari untuk menyingkir bahan toksik daripada badan. Mulakan hari anda dengan minum dua gelas air dan campur sedikit perahan limau ke dalam satu daripada gelas air tadi.

Makan lebih banyak makanan mengandungi serat serta sayur-sayuran campur (antaranya kentang, keladi, kacang, brokoli, kubis, bunga kubis dan lobak) yang dikukus juga boleh membantu ‘membersihkan’ sistem pencernaan, merangsang penyingkiran bahan toksik dan sekali gus dapat membantu mengurangkan masalah badan berbau selepas dua atau tiga minggu diamalkan.

Sebaliknya kurangkan makanan pedas, berempah dan berbau kuat seperti bawang merah, bawang putih dan kari kerana bau daripada makanan ini boleh meresap masuk ke dalam peluh.

Masalah bau badan boleh dikurangkan dengan merangsang proses pembersihan badan secara semula jadi. Antara langkah yang anda boleh lakukan ialah mandi sauna atau wap seminggu sekali.

Senaman juga dianggap boleh membantu mengurangkan masalah ini kerana anda akan minum lebih banyak bagi menggantikan air yang hilang dan melancarkan aliran darah.

Jika anda mengalami masalah peluh berlebihan (hiperhidrosis), jumpa doktor dan berbincang mengenai kaedah sesuai untuk mengatasi masalah anda.

Jika masalah anda teruk sehingga menjejaskan aktiviti harian, minta doktor merujukkan anda kepada pakar kerana kini ada pembedahan boleh dilakukan untuk menghentikan masalah hiperhidrosis.

Seandainya masalah anda tidak berkurang selepas melakukan kaedah di atas atau berbau lebih kuat, jumpa doktor. Jalani pemeriksaan kesihatan kerana bau peluh yang kuat seperti ammonia boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan seperti penyakit hati, kencing manis, mengalami jangkitan kulat atau masalah pada usus.//hmetro

Post a comment

[ Online : 1895 hari. ]