ADELAIDE, Australia – Seorang jururawat, Amanda Manuel didapati bersalah memukul beberapa pesakit warga emas dengan menggunakan bantal selain menendang mereka serta memaksa mereka berbaring, lapor sebuah akhbar semalam.
Amanda, 30, tidak mempamerkan sebarang emosi semasa Mahkamah Majistret Adelaide mendapati dia bersalah berhubung lima dakwaan melakukan serangan.
Majistret Peter Snopek memutuskan bahawa dia menyerang seorang wanita sebanyak dua kali, melakukan satu serangan terhadap seorang lelaki serta seorang wanita lain sebanyak dua kali pada Januari dan Februari tahun lalu.
Snopek menyatakan Amanda memukul seorang pesakit wanita dengan menggunakan bantal dan menendang belakang seorang pesakit lain untuk memaksa mangsa berada di atas katilnya.
Amanda sanggup melakukan penyamaran bagi melindungi identitinya setiap kali muncul di mahkamah sejak kesnya mula dibicarakan pada Disember tahun lalu.
Semalam dia memakai rambut palsu berwarna merah semasa hadir di mahkamah.
Dia tahan direman bagi menanti hukuman terhadapnya dibaca pada bulan depan. – Agensi //cosmo






