Beberapa lelaki yang dikatakan mengugut bunuh dua penduduk di kawasan bekas Kampung Buah Pala di sini, Sabtu lalu, mendakwa mereka turut dicederakan dengan parang dan cangkul oleh penduduk berkenaan.
Mereka yang merupakan pekerja syarikat pemaju kawasan itu berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi selepas tercetus satu pertengkaran.
Penyelia tapak, Aizat Hazwan Abdul Manaf, 22, berkata, pada hari kejadian, dia sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok berhampiran kandang lembu di kampung itu sebelum didatangi dua lelaki yang dikenali sebagai Siva dan Aru.
“Dua lelaki tersebut yang bersenjatakan cangkul memaki hamun saya dengan kata-kata kesat sebelum salah seorang, menghayun cangkul ke muka saya. Seorang lagi tiba-tiba melibas sebilah parah yang mengenai rusuk kiri dan lengan kiri saya.
“Saya yang terjatuh kemudiannya diterkam oleh dua lelaki terbabit selain mereka cuba menikam dan menetak saya dengan parang tetapi berjaya dihalang oleh pekerja lain,” katanya pada sidang akhbar di tapak Kampung Buah Pala di sini hari ini.
Semalam, dua penduduk kampung terbabit K. Murugan, 46, dan Sivanandhan, 39, mendakwa menerima ugutan bunuh daripada beberapa lelaki selain dicederakan.
Menurut Aizat, seorang wanita yang tinggal di kuarters RTM berhampiran kawasan itu kemudiannya datang merampas parang dari tangan Aru.
Katanya, sebelum beredar mereka berdua turut menghamburkan kata-kata kesat dan mengugut akan melakukan ‘sesuatu’ terhadapnya.
Sementara itu majikan Aizat, Nordin Mohammad yang merupakan pengurus projek berkata, Aizat terpaksa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan yang dialaminya.
“Kami juga membuat laporan di Balai Polis Jelutong pada hari sama kerana bimbang keselamatan pekerja lain.
“Saya juga berharap pihak polis mengambil tindakan segera kerana saya difahamkan Aru telah melarikan diri biarpun dipanggil memberi keterangan,” katanya.–utusan






