Maut dirotan anak

0

Category : Terengganu

KEMAMAN: Bagai babak pilu dalam drama, seorang lelaki yang cedera di bahu dipercayai dirotan anak tirinya ketika bergaduh, sempat memberitahu insiden itu kepada seorang saudaranya sebelum rebah dan meninggal dunia.

Mohd Shariff Othman, 50, memaklumkan kejadian itu kepada Shaabdillah Kamaruddin, 49, sebelum tumbang di hadapan pintu rumah saudaranya itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin di Kampung Pengkalan Air, Binjai di sini.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK).

 Isteri mangsa, Siah Mahmud, 56, berkata pada malam kejadian, mereka sekeluarga sepatutnya bergembira dalam jamuan sempena perhimpunan keluarga namun ia bertukar kenduri arwah.

“Saya tidak menyangka kemeriahan Aidiladha tahun ini mengundang tragedi apabila kehilangan suami buat selama-lamanya,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya keluar rumah untuk menemui rakannya bagi menjelaskan hutang di sebuah taman perumahan berhampiran selepas menunaikan solat Maghrib.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 malam, saudara saya, Shaabdillah yang tinggal berhampiran menghubungi saya memaklumkan arwah pengsan di hadapan rumahnya selepas dipercayai bergaduh dengan anak lelaki saya.

“Saya bergegas ke hospital dan terkejut apabila mendapat tahu dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak menghidap sebarang penyakit dan rapat dengan semua anak tirinya.

Menurutnya, mangsa sentiasa menunaikan tanggungjawab sebagai ayah walaupun dia hanya bapa tiri kepada sembilan anaknya hasil perkahwinan dengan suami pertama.

“Arwah seorang pendiam. Kami sekeluarga tinggal bersama sejak 16 tahun lalu dan dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta.

“Bagaimanapun, baru-baru ini, arwah ada menyatakan rasa kurang senang dengan anak lelaki saya (suspek) yang masih tinggal bersama di rumah ini.

“Dia memberitahu saya, kehidupan kami tidak akan tenteram kerana anak saya itu seorang penganggur serta penagih dadah,” katanya.

Shaabdillah yang juga individu terakhir bertemu mangsa berkata, arwah bertandang ke rumahnya kira-kira jam 8.30 malam memaklumkan dia bergaduh dan dirotan suspek di lengan kiri.

“Sebaik memberitahu demikian, dia rebah dan pengsan sebelum saya membawanya ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata polis yang menerima maklumat kejadian melancarkan gerakan memburu sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati suspek seorang penagih dadah dan memukul bapa tirinya di lengan menggunakan sebatang rotan ketika mereka bertengkar.

“Suspek yang pernah dicekup kerana kesalahan menagih dadah pada 12 Februari lalu ditahan berhampiran sebuah rumah di Batu 4, Kampung Binjai, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.-hmetro

Post a comment

[ Online : 387 hari. ]