Pengimportan Dan Pengunaan Basikal Elektrik Perlu Dapat Kelulusan JPJ?

0

Category : umum

Kemusykilan sama ada basikal elektrik memerlukan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk diimport dan digunakan di negara ini dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat.

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) berkata beliau mendapat aduan daripada pembekal basikal itu bahawa barangan yang diimportnya ditahan di Pelabuhan Klang kerana tidak mempunyai kelulusan JPJ.

Beliau juga ingin tahu sama ada pengunaan basikal elektrik di jalan raya juga perlu mendapat kelulusan jabatan itu. “Jadi saya ingin meminta Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Ong Tee Keat) menjelaskan mengenai penahanan basikal itu, adakah ia memerlukan kelulusan atau syarat-syarat lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi kementerian tersebut.

Sementara itu, Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pula mencadangkan agar kementerian itu menyediakan kenderaan penguatkuasa yang dilengkapi audio dan video bagi merakam semua aktiviti penguatkuasaan bagi membuktikan bahawa mereka menjalankan tugas dengan betul. Dengan cara ini ia juga dapat mengikis tanggapan negatif masyarakat berhubung agensi-agensi penguatkuasa, kata beliau. Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pula mendakwa sistem pengurusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) masih ditahap lama hingga pelanggan perlu menunggu lama untuk membuat pemeriksaan kenderaan.

“Apa yang saya nak bangkitkan ialah masa yang diambil oleh Puspakom untuk memeriksa kenderaan dan saya juga diberitahu kena tempah dulu sebelum boleh buat pemeriksaan. “Sudah sampai masanya monopoli Puspakom ini ditamatkan. Sekarang ini mengikut statistik tahun ini, terdapat hampir 950,000 buah kenderaan yang memerlukan pemeriksaan. Tahun depan dijangka cecah satu juta kenderaan.

Saya nak tahu, berapa banyakkah sumbangan Puspakom kepada kerajaan?,” katanya. Beliau juga meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat menyatakan jumlah kemalangan melibatkan bas yang tidak diperiksa. Selain itu, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) pula mencadangkan agar diwujudkan satu koc khas untuk wanita pada waktu puncak bagi memastikan keselesaan golongan tersebut. — BERNAMA

Post a comment

[ Online : 916 hari. ]