Ragut – Isteri hilang suami angkara peragut

0

Category : umum

CHERAS – Akibat ingin mengelak daripada diragut, seorang isteri kehilangan suami tersayang di hadapan matanya sendiri, apabila motorsikal yang mereka naiki terbabas lalu terperosok di celah tiang lampu dan longkang.

Mangsa, Abdul Rahman Mohd Khaladen, 34, maut di tempat kejadian manakala isterinya tercampak dari motorsikal dan mengalami cedera parah pada bahagian kaki dan kepala.

Kejadian pada jam 3.30 petang di Jalan Perkasa 2, Taman Maluri Cheras ini bermula apabila motorsikal yang dinaiki kedua-dua mangsa itu secara tiba-tiba dihimpit dua lelaki bermotorsikal yang cuba meragutnya.

Menyedari perbuatan peragut berkenaan, mangsa kemudiannya memecut motorsikal sebelum hilang kawalan dan merempuh tiang lampu,

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Hamzah berkata, kejadian berlaku ketika sepasang suami isteri dari arah Jaya Jusco menuju ke persimpangan Pandan Jaya.

“Seorang saksi yang melihat kejadian memberitahu, mangsa cuba diragut ketika melalui jalan berkenaan menyebabkan suaminya memecut motorsikal sebelum hilang kawalan dan merempuh tiang lampu,

“Saksi yang kebetulan berada di situ cuba mengejar suspek sejauh hampir satu kilometer namun tidak berjaya,” katanya.

Suspek yang cuba meragut itu bagaimanapun tidak berjaya mendapatkan apa-apa dari mangsa. Isteri mangsa yang parah telah dibawa ke hospital oleh orang awam yang melihat kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan di talian Rakancop 03-21115999 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.-sinar

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]