KUALA LUMPUR – Terengganu, yang dilanda taun sejak 11 November lalu, kini diisytiharkan bebas daripada wabak itu setelah tiada kes baru dilaporkan sejak dua minggu lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, sejak wabak itu dikesan di negeri itu bulan lalu, 187 kes dikesan dengan satu kematian dilaporkan.
“Walaupun wabak ini telah tamat, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan terus melaksanakan tindakan kawalan, pencegahan dan pengawasan bagi mengelak ia berulang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dr Ismail berkata, siasatan mendapati jangkitan taun di Terengganu berlaku kerana pengendali makanan dan orang ramai kurang mengambil berat tentang penjagaan kebersihan diri dan amalan pengendalian makanan yang selamat.
Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan sebanyak 187 kes penyakit taun dicatatkan di Terengganu sejak 11 November lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, masalah kebersihan adalah punca utama penularan wabak taun di Terengganu. Ia menyebabkan pencemaran berlaku di kilang-kilang ais, keropok lekor dan pasar basah hingga memaksa taun diisytiharkan wabak di negeri itu.
Katanya, sebanyak 115 premis telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 20 premis diarahkan tutup serta-merta selama 10 hari bagi mengekang wabak itu daripada terus menular.






