Zuraida binti Kamaruddin minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapakah satu indeks kesetaraan gender tidak ditetapkan ke dalam Petunjuk Prestasi Utama. (Soalan No. 20 PR-1223-L34252)
Ahli Parlimen Ampang telah menerima jawapan bagi soalan beliau di atas dari Koh Tsu Koon dan mendapati jawapan tersebut adalah bertentangan dengan dakwaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Parlimen pada 14 Disember 2009.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyatakan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil pendekatan mengintegrasi perspektif gender ke dalam belanjawan dan usaha telah diambil untuk memperkasakan kapasiti melalui kursus-kursus kepekaan gender.
Shahrizat mendakwa terdapat peningkatan pengetahuan berhubung isu gender di kalangan pegawai-pegawai. Beliau juga mendakwa wujud mekanisme pemantauan di mana pegawai diminta mengemukakan laporan dua kali setahun kepada kementerian berkenaan maklum balas mengenai dasar di bawah kementerian atau agensi perundangan yang melibatkan wanita, program sedia ada melibatkan wanita dan maklum balas mengenai cadangan program melibatkan wanita.
Saya musykil bagaimana usaha yang didakwa oleh Sharizat boleh membuahkan hasil sedangkan Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memberi maklumbalas bahawa mereka tidak tahu apa itu “gender-responsive budgeting”.
Perkara ini disahkan melalui jawapan oleh Koh Tsu Koon yang menyatakan kesaksamaan gender tidak menjadi KPI bagi semua kementerian dan agensi kerajaan. Sekali lagi jelas bahawa KPWKM lemah kemahuan politik untuk memperjuangkan isu gender sebagai unsur penting dalam pembangunan negara.
*Kenyataan media oleh Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat.






