
MANGSA gempa bumi di Haiti bergaduh berebut kotak makanan di sekitar Port-au-Prince, kelmarin.
PORT-AU-PRINCE: Kira-kira 200,000 orang maut dalam gempa bumi yang memusnahkan Haiti dan tiga suku daripada ibu negaranya, Port-au-Prince, yang perlu dibangunkan semula, kata pihak berkuasa di negara Caribbean itu.
“Kami sudah mengumpulkan kira-kira 50,000 mayat. Kami menjangka ada sejumlah 100,000 hingga 200,000 mangsa terkorban, walaupun kami tidak mengetahui angka tepat,” kata Menteri Dalam Negeri, Paul Antoine Bien-Aime.
Kira-kira 40,000 mayat sudah pun dikebumi dalam satu kubur, kata Setiausaha Negara bagi Keselamatan Awam, Aramick Louis. Sekiranya angka kematian itu tepat, maka gempa berukuran 7.0 magnitud itu yang melanda Haiti Selasa lalu antara 10 gempa paling dahsyat pernah dicatat.
Tiga hari selepas ia melanda, beberapa kumpulan perompak mula menjadikan mangsa gempa yang tinggal di khemah di kaki lima dan tepi jalan sebagai mangsa rompakan.
Presiden Rene Preval dan Perdana Menteri, Jean-Max Bellerive kini tinggal di ibu pejabat perundangan polis berhampiran lapangan terbang dan menyelaraskan bantuan kerajaan, di mana kebimbangan utama mereka adalah keadaan terdesak itu boleh bertukar menjadi ganas.
”Saya tidak ada rumah, saya tidak ada telefon, inilah istana saya sekarang,” kata presiden berkenaan, yang kehilangan rumah kerajaan dalam gempa itu.
“Kami kena pastikan ada minyak kenderaan, bagi membolehkan trak mengumpulkan mayat. Hospital juga penuh, dan terlebih pesakit,” kata Preval.
Pihak berkuasa melaporkan beberapa kejadian kecurian dan kemarahan di kalangan mangsa terselamat kecewa kerana kelewatan bantuan.
Terdapat beberapa kejadian di mana mangsa terbabit mencuri atau bergaduh untuk mendapatkan makanan. Mereka terdesak, kerana berada dalam keadaan tiga hari tanpa makanan atau sebarang bantuan,” kata Penolong Setiausaha Agung Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Alain Le Roy, yang turut kehilangan 36 daripada 9,000 anggota misinya apabila bangunan ibu pejabatnya runtuh dalam gempa itu.
Le Roy memberitahu PBS NewsHour bahawa keadaan masih terkawal sekarang, tetapi mengingatkan bahawa kelaparan boleh menyebabkan berlaku kekacauan jika bantuan tidak tiba dengan segera.
Pertubuhan Kesihatan Seluruh Amerika berkata, sekurang-kurangnya lapan hospital dan pusat kesihatan di Port-au-Prince runtuh atau musnah teruk dan tidak dapat beroperasi.
“Kami tiada bekalan. Kami perlu sarung tangan pembedahan, antibiotik, antiseptik, cecair pembunuh kuman. Kami tiada apa-apa. Malah air pun tidak ada. Ramai kanak-kanak kehausan dan kami tidak mempunyai air untuk diberikan kepada mereka,” kata seorang doktor, Jean Dieudonne Occelien. Reuters//bharian






