IPOH – Empat bas musnah, membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit dalam kebakaran di Stesen Bas Medan Kidd di sini, kira-kira jam 3.30 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menyiasat punca kejadian dan telah mengambil keterangan daripada beberapa pengawal keselamatan yang berada di stesen bas berkenaan bagi membantu siasatan.
“Siasatan sedang dijalankan dan kita menunggu laporan daripada forensik,” katanya ketika ditanya sama ada polis mengesyaki berlaku perbuatan khianat.
Tiga daripada bas yang musnah itu dimiliki Syarikat Reliance Omnibus Company Sdn Bhd dan sebuah lagi kepunyaan Kinta Omnibus Sdn Bhd.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Ahmad Roszani Che Hat berkata, sejurus menerima laporan kira-kira jam 3.44 pagi, dua jentera segera ke Stesen Bas berkenaan bagi memadamkan kebakaran.
“Punca siasatan masih dijalankan oleh bahagian forensik bomba.
“Menurut saksi kejadian, kebakaran bermula pada bahagian enjin salah sebuah bas berkenaan dan ia merebak ke tiga-tiga bas bersebelahan.
“Dengan kekuatan 12 anggota termasuk pegawai, kami mengawal api yang marak dari dua bahagian supaya ia tidak membakar stesen berkenaan dan deretan bas berhampiran,” katanya.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan stesen berkenaan, Yeo Sin Hock, 49, mendakwa ternampak sebuah lori memecut keluar dari kawasan berkenaan semasa api sedang marak.
“Saya nampak lori itu keluar semasa (saya) berlari untuk melihat api,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Syarikat Reliance Omnibus, Ahmad Marzuki Mansor berkata, kerugian dianggarkan RM500,000 namun, operasi bas syarikat berkenaan masih dijalankan seper�ti biasa.
“Saya menerima panggilan kira-kira jam 3.45 pagi dan bergegas ke stesen bas ini untuk melihat keadaan sekali gus menilai kerugian yang dialami.
“Bagaimanapun, kerugian ini melibatkan perjalanan operasi bas yang terganggu dan aspek yang berlainan.
“Pihak kami berhenti operasi pada jam 7 atau 8 malam dan ini adalah pertama kali berlaku kejadian seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menyangkal sekiranya terdapat unsur khianat dalam kejadian berkenaan.
“Kita akan membuat laporan polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya selepas mendapat laporan bomba nanti,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen berkenaan kepada polis.
Tinjauan Sinar Harian semalam, mendapati Stesen Bas Medan Kidd masih menjalankan operasi bagi menyediakan perkhidmatan bas kepada penduduk bandar raya berkenaan.//sinar






