BACHOK: Seorang suami tidak menyangka riak wajah lesu ditunjukkan isterinya malam kelmarin, membawa petanda akan kehilangannya buat selama-lamanya selepas maut tertimbus longgokan sampah dalam kejadian di tapak pelupusan sampah di Beris Lalang, dekat sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu disedari suami dan anak-anak Rohana Dollah, 44, ketika mencari rezeki bersama-sama untuk mengumpul bahan terbuang di pusat pelupusan sampah itu.
Suami mangsa, Sedi Ismail, 49, berkata arwah isterinya ada mengadu mengalami sakit bahu dan letih pada malam kelmarin, namun terpaksa menggagahkan diri untuk mencari rezeki bagi menyara tujuh anak.
“Pagi semalam, arwah beria-ia keluar ke tapak pelupusan sampah menaiki motosikal bersama anak lelaki, Mohd Affendi, 16, dan kami sempat bersarapan bersama sebelum mengumpul bahan terbuang.
“Pada jam 8.30 pagi, datang seorang kenalan meminta bantuan mencarikan rumah sewa. Tanpa berlengah saya keluar membantunya mencari rumah terbabit di sekitar Bachok,” katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah berkenaan, semalam.
Katanya, wajah isterinya nampak lesu, tetapi tetap berkeras untuk keluar mencari rezeki bagi membantunya mencari sesuap nasi menyara anak mereka yang masih bersekolah.
Menurutnya, dia juga sempat berpesan kepada isteri dan tiga anak yang turut membantu mencari bahan terbuang supaya berhati-hati dan tidak keluar melebihi kawasan untuk keselamatan bersama.
“Tanpa diduga, isteri keseorangan mencari bahan terbuang manakala anak sulung, Suhaila, 18, bersama seorang rakan mencari bahan terbuang pada jarak 20 meter dari tempat ibunya berada.
“Selepas pulang membantu rakan mencari rumah sewa, saya bertanya kepada anak mengenai ibu mereka dan memanggilnya, namun tiada jawapan,” katanya sebak.
Menurutnya, selepas berasa tidak sedap hati dengan kehilangan isterinya itu, dia bersama anak-anaknya bergegas ke lokasi isterinya mencari bahan terbuang, namun hampa.
“Saya kemudian meminta bantuan jentolak membantu mengesan isteri sebelum mendapatkan bantuan bomba dan polis.
“Sebak hati saya tatkala melihat isteri tertimbus dalam longgokan sampah sebelum disahkan meninggal oleh pasukan keselamatan yang mencarinya bersama pagi tadi (semalam),” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipu Bhari Mohd Nor, berkata pihaknya menerima panggilan orang ramai jam 11.59 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bagi usaha mencari dan menyelamat.
“Kami memulakan gerakan mencari mangsa pada jam 12 tengah hari dan menemui mayat seorang wanita tertimbus dalam himpunan sampah pada jam 4.30 petang.
“Mayat wanita itu ditemui tertimbus sedalam dua meter dalam timbunan sampah di tapak pelupusan sampah,” katanya. Katanya, usaha mencari dan menyelamat mangsa dijalankan bersama 13 anggota bomba dari Bachok dibantu 10 anggota polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yahya Salleh, mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian. //hmetro







Takziah diucapakan kepada yang berkenaan…..