
Berjimat mesti kena pada tempatnya
SHAH ALAM – Jika kerajaan benar-benar hendak mengurangkan kos perbelanjaan, mereka patut berjimat dalam sektor lain, bukannya pendidikan.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, kerajaan tidak boleh mementingkan sektor pembangunan dan mengetepikan pendidikan dalam merancang perbelanjaan.
Beliau berkata, langkah mengurangkan perbelanjaan sektor pendidikan banyak menimbulkan kesan terhadap pendidikan pelajar, terutama yang tinggal di asrama serta keluarga mereka.:
Katanya, tindakan Kementerian Pelajaran tidak menyediakan makanan pada Sabtu dan Ahad di sekolah berasrama untuk mengurangkan kos, umpamanya, merumitkan ibu bapa kerana mereka terpaksa berulang alik mengambil pelajar setiap minggu.
”Kalau kita dapat menapis segala kebocoran, termasuk rasuah, segala penjimatan dapat disalurkan kepada sektor pendidikan yang kosnya kini semakin meningkat.
”Jika kerajaan teruskan dasar penjimatan ini, ramai pelajar akan menerima kesan jangka panjang, terutama bagi mereka yang sangat bergantung kepada kemudahan di asrama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, sektor pendidikan amat penting dalam usaha kerajaan untuk membangunkan generasi akan datang.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, mengenai pindaan pelaksanaan program Bantuan Makanan Asrama sekolah pada tahun 2010.
Laporan Akhbar sebelum ini :
Bantuan Sekolah Di Potong
DI waktu perhimpunan sekolah di hari yang pertama, saya amat terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Guru Besar sekolah anak saya, iaitu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat sedikit pemotongan terhadap peruntukan tahunan ke sekolah-sekolah berbanding dengan bantuan yang diberikan pada tahun lepas.
Dalam pengumuman itu juga, pihak sekolah telah memaklumkan bahawa, beberapa aktiviti-aktiviti sampingan terpaksa dibatalkan atau dikurangkan demi menampung sejumlah kecil peruntukan yang diterima oleh pihak sekolah.
Tuisyen-tuisyen tambahan terpaksa dikurangkan atau dibatalkan kerana elaun khas guru untuk mengadakan tuisyen tambahan juga telah ditarik balik. Ini akan membuatkan ibu bapa terpaksa mendapatkan pembelajaran tambahan melalui pihak swasta.
Oleh itu, bagi ibu bapa yang berkemampuan ia tidak menjadi masalah, bagaimana pula dengan ibu bapa yang pendapatannya hanya cukup untuk makan dan keperluan harian sahaja? Maka, tidak dapatlah pelajar-pelajar yang ibu bapanya kurang kemampuan mendapatkan ilmu tambahan.
Sudahlah baru-baru ini kerajaan telah membuat pengumuman mengenai kenaikan harga gula, sekarang pula telah mengurangkan bantuan tahunan ke seluruh sekolah-sekolah. Oleh kerana kurangnya bantuan tersebut, pihak sekolah juga telah memaklumkan mengenai kenaikan yuran PIBG yang perlu dibayar oleh para ibu bapa.
Bagaimana pula dengan murid-murid di sekolah-sekolah yang berada di perkampungan dan juga di luar bandar yang rata-rata dari ibu bapa mereka berada miskin dan kurang berkemampuan, adakah sekolah ini juga senasib dengan sekolah di bandar-bandar yang telah dipotong bantuan tahunan? Bagaimana dengan sekolah tersebut ingin mengadakan persekolahan tambahan atau tuisyen-tuisyen tambahan, dengan mempunyai kekurangan dana?
Saya yakin, kutipan PIBG dari pihak ibu bapa pelajar di luar-luar bandar amat sedikit dan tidak mencukupi untuk membantu sekolah.
Ramai juga ibu yang merungut terhadap kenaikan yuran PIBG seperti yang diumumkan oleh Guru Besar tadi. Rata-ratanya mula menyalahkan pihak kerajaan kerana tidak prihatin dan tidak bertanggungjawab terhadap keperluan dan kehendak persekolahan. Ramai yang mula menuding jari kepada kelemahan pihak kerajaan dalam menguruskan kewangan sehingga terpaksa memotong bantuan persekolahan. Apakah, kerajaan telah kekurangan duit atau mahu menumpukan projek-projek yang besar?
Sepatutnya kerajaan harus menolak atau membatalkan untuk memberikan subsidi kepada gula tetapi berikan subsidi itu kepada seluruh pelajar-pelajar sekolah baik sekolah rendah mahupun menengah. Wujudkan persekolahan percuma dengan seluruh bantuan diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah. Saya yakin, jumlah yang diperlukan tidak sampai pun jumlah yang sama kerajaan berikan untuk subsidi gula. Bukannya gula itu mendatangkan kebaikan, malah lebih banyak keburukan dan lebih bahayanya gula berbanding dengan kepentingan pelajaran. Tapi kenapa kerajaan lebih pentingkan gula dari pelajaran?
Saya amat yakin, hampir seluruh rakyat Malaysia akan setuju dengan pandangan saya untuk menghentikan subsidi gula jika subsidi tersebut dapat dialihkan kepada subsidi pelajaran atau pembelajaran percuma.//utusan

Sudahlah baru-baru ini kerajaan telah membuat pengumuman mengenai kenaikan harga gula, sekarang pula telah mengurangkan bantuan tahunan ke seluruh sekolah-sekolah. Oleh kerana kurangnya bantuan tersebut, pihak sekolah juga telah memaklumkan mengenai kenaikan yuran PIBG yang perlu dibayar oleh para ibu bapa.




