Pencuri dibelasah teruk penduduk

0

Category : Terengganu

KUALA TERENGGANU – Akibat terlalu marah, seorang pencuri dibelasah teruk penduduk kampung, selain motosikal suspek turut dibakar, sebaik sahaja lelaki berkenaan ditangkap di Kampung Banggol Peradong, Manir, Ahad lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika suspek bersama seorang lagi rakannya dikatakan cuba memecah masuk ke dalam rumah seorang guru di kampung berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superitendan K Manoharan berkata, berikutan kejadian itu, suspek yang mengalami kecederaan terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sementara rakannya berjaya melarikan diri.

Menurutnya, kedua-dua suspek pada mulanya dikatakan cuba memecah masuk ke rumah guru berkenaan tetapi gagal apabila perbuatan mereka disedari lebih awal oleh kakak ipar mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah dan meninggalkan rumah dalam keadaan berkunci. Kedua-dua suspek cuba memecah masuk melalui tingkap sisip angin di pintu belakang rumah berkenaan.

“Namun, kejadian itu disedari kakak ipar mangsa, lalu dia menelefon mangsa memaklumkan perkara itu. Tanpa membuang masa, mangsa terus pulang ke rumah dan mendapati tingkap sisip angin rumahnya telah dipecahkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, penduduk yang mengetahui kejadian itu terus berkumpul untuk mencari dua suspek terbabit kerana yakin mereka masih berada di sekitar kawasan berhampiran.

“Penduduk akhirnya menemui seorang suspek di dalam semak berhampiran, lalu dia dibelasah sehingga mengalami kecederaan bahagian muka dan luka atas mata kanan, sementara seorang suspek lagi berjaya melarikan diri.

“Tidak puas dengan itu, penduduk juga bertindak membakar sebuah motosikal dipercayai milik suspek yang melarikan diri ketika kenderaan itu ditinggalkan berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Manoharan berkata, suspek berumur 20 tahun dari Kampung Jeram Manir kemudian dihantar ke HSNZ dengan ambulans dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Manir kira-kira jam 11.15 malam pada hari kejadian, sementara kakak kepada suspek yang dipukul penduduk kampung juga membuat laporan di balai polis sama.

Begitu juga, ibu kepada suspek yang melarikan diri turut membuat laporan polis atas kerosakan motosikal anaknya yang dibakar penduduk.

Manoharan berkata, orang ramai memang disarankan membantu pihak polis tetapi jangan menggunakan kekerasan keterlaluan sehingga boleh menimbulkan bencana ataupun kecederaan kepada pesalah.

“Kami berharap, orang ramai faham dan mematuhi undang-undang kerana jika bertindak keterlaluan, mereka juga boleh disiasat.

“Polis kini giat mengesan individu bertanggungjawab mencederakan suspek dan membakar motosikal milik suspek kedua.

“Kami harap, sesiapa mempunyai maklumat mengenai kejadian ini menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan pecah rumah, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Post a comment

[ Online : 1016 hari. ]