
Kedai makan bukan islam gantung kalaimah Allah Muhammad
PUTRAJAYA: Selain memaparkan gambar ayat suci al-Quran, kalimah Allah dan Nabi Muhammad s.a.w., segelintir pemilik restoran tidak halal di negara ini dikesan turut menggaji wanita bertudung sebagai pelayan atau pekerja bagi meyakinkan pelanggan Islam bahawa makanan di premis mereka halal.
Terdapat restoran bukan Islam yang menggantung kalimah Allah dan Muhammad. Perkara itu hanya akan terbongkar selepas serbuan dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPNDKK).
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Saimah Mukhtar, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada pengguna yang keliru dengan tindakan segelintir pemilik restoran menggunakan pelayan wanita bertudung sebagai pekerja sedangkan restoran itu diragui status halalnya.
“Kami mengesan banyak kes seumpama ini selepas membuat pemantauan, siasatan dan pemeriksaan premis. Biasanya pekerja yang digaji adalah wanita warga Indonesia yang tidak diketahui sama ada mereka Islam atau tidak.
“Biasanya pemilik pandai berdolak-dalik dan memberi pelbagai alasan bagi mengelak mereka ditahan termasuk mengatakan ‘saya tak kata restoran saya halal’,” katanya ketika dihubungi, di sini.






