HULU TERENGGANU: Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu, yang menjalankan kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir, sejak tiga bulan lalu, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.
Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.
“Rangka pra sejarah itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (sm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.







