Scorpene tak boleh menyelam

0

Category : Apa dah jadi

MELAKA: Kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam cuma kerosakan kecil yang tidak menjejaskan operasinya dan boleh diperbaiki oleh pengeluar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata siasatan juga telah dilakukan terhadap kerosakan yang dialami kapal selam itu.

“Kita ada tempoh jaminan ke atas kapal selam itu dan kita yakin pihak pembekal atau pengeluar akan memperbaikinya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas Tiga Divisyen, Kem Terendak, di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, dan Panglima Tiga Divisyen, Mej Jen Datuk Razali Ahmad.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin melaporkan kapal selam pertama negara itu gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lalu.

Panglima Tentera Laut, Jen Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, semalam mengesahkan kerosakan itu yang dikesan pada 17 Januari lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pengkalan Tentera Laut Diraja Melaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata penyertaan Malaysia dalam eksais Gobra Gold hanya sebagai pemerhati sahaja.

“Kita merasa cukup sehingga kini untuk menjadi pemerhati di dalam eksais itu kerana kita ada eksais lain dengan Thailand yang bersesuaian dengan kehendak kita,” katanya.

Eksais latihan perang Cobra Glod 2010 kini berlangsung di Wilayah Chonburi, Thailand, yang membabitkan 14,000 askar dari Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun.

Sementara itu, beliau berkata kemudahan perumahan anggota di Markas Tiga Divisyen yang telah beroperasi selama 65 tahun akan ditingkatkan bagi menempatkan semula lebih 2,700 anggota markas itu yang kini tinggal di luar.

“Kita rancang tempat untuk semua anggota tentera yang tinggal di luar supaya duduk di kediaman perumahan anggota tentera di dalam kem ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu bagi memudahkan mobiliti anggota yang terbabit dalam sebarang operasi dan menjamin keselamatan anggota keluarga anggota.

Katanya, cadangan pembinaan rumah anggota tentera itu akan menggunakan konsep bina, sewa, urus dan pindah milik dengan pemaju swasta. – Bernama

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]