Tak sangka hantar SMS kepada rakan maut nahas

0

Category : umum

SEREMBAN: Apabila wartawan jurukamera TV3, Shamsul Liani Abas mendapat maklumat kematian seorang pegawai polis dalam nahas jalan raya malam kelmarin, beliau menghantar SMS memberitahu kejadian itu kepada kawan rapatnya, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abdul Halim.

Ketika dalam perjalanan untuk membuat liputan nahas itu, beliau sekali lagi menghantar SMS kepada Mohd Hazam apabila menerima maklumat pegawai polis terbabit berpangkat Senior Asisten Komisioner II (SAC II) dan bergelar Datuk.

Namun, Shamsul Liani, 45, terkejut apabila mendapati mangsa yang dirakam di tempat kejadian adalah rakan rapatnya itu.

 Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi semalam, Shamsul Liani berkata, sebelum tiba di tempat kejadian, beliau mendapat maklumat ada seorang pegawai polis terbunuh dalam kemalangan jalan raya dan baginya berita itu akan menjadi antara tajuk berita utama keesokannya.

“Ketika menghampiri plaza tol Jalan Duta, sekali lagi saya menerima maklumat pegawai yang terbunuh berpangkat SAC II dan berpangkat Datuk.

“Saya terfikir dalam hati, Datuk mana yang meninggal dunia. Memandangkan saya dan Allahyarham sering bertukar maklumat, saya menghantar satu laporan ringkas mengenai kemalangan itu ke telefon bimbit Allahyarham.

“Apabila tiba di tempat kejadian dan menghalakan lensa kamera ke dalam kereta yang dinaiki mangsa, saya terkejut kerana mendapati yang terbunuh itu adalah Mohd Hazam. Saya hampir tidak dapat menjalankan tugas kerana seluruh badan menggeletar,” katanya.

Mohd Hazam, 52, terbunuh apabila kereta yang dipandu pemandunya, Lans Koperal Asminton Salimin, terbabas melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di susur keluar ke Bukit Tegar, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Lumpur tengah malam kelmarin.

Di tanah perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, di sini puluhan orang termasuk ahli keluarga, kenalan, pegawai serta anggota polis hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham yang dikebumikan sebelum solat Jumaat semalam.

Antara yang hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Salleh Osman dan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Mohamad berkata, pemergian Mohd Hazam adalah kehilangan besar kepada negara kerana usianya yang masih muda.

Mohd Hazam meninggalkan isteri Datin Siti Norziah Abdullah, 42, dan anak Ahmad Muhaimin, 19; Ahmad Muhazran, 17; Najwa Hasmidar, 16; Najwa Hazwani, 14; Najwa Haziqah, 8; dan Mohd Amirul Irfan, 5 tahun. – Bernama

Post a comment

[ Online : 915 hari. ]