KUALA LUMPUR – Ketiadaan Akta Halal dikatakan menjadi punca utama berlakunya lambakan sijil dan tanda halal palsu serta kecuaian pihak tertentu dalam mematuhi peraturan penyediaan produk-produk halal mengikut syarak.
Keadaan ini berlaku ekoran tiadanya undang-undang khas untuk membendungnya menyebabkan umat Islam sering keliru dan tertipu dengan tanda halal palsu yang dipaparkan di restoran dan produk, terutamanya makanan.
Terdapat tiga laporan polis dibuat oleh awam di sekitar Sentul di sini berhubung kekeliruan pengguna terhadap penggunaan tanda halal mencurigakan kelmarin seterusnya diadukan pada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, penyalahgunaan dan pemalsuan tanda halal di negara ini bukan perkara baru dan ia semakin serius berikutan tiada kawalan khusus dilakukan pihak berkuasa.
Menurutnya, satu bentuk penguatkuasaan amat diperlukan pada masa ini bagi mengawal peniruan tanda halal dan pengeluaran sijil halal oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengaku mempunyai kuasa berbuat demikian.
“Dalam hal ini, bukan sahaja pengguna tertipu malah ramai peniaga dan pengusaha turut sama tertipu dengan sindiket yang mengeluarkan sijil dan tanda halal palsu.
“Buat masa ini, hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama Islam di setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkannya,” kata beliau pada sidang akhbar di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.
Katanya, penipuan sebegitu sukar dibendung kerana tiada undang-undang dan akta khusus untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang mengaku sebagai syarikat konsultan yang mengeluarkan sijil halal.
“Trend ini dilihat semakin menjadi-jadi kerana banyak pengusaha serta syarikat yang jahil mengenai prosedur mendapatkan tanda dan sijil halal terpedaya dengan tawaran konsultan tidak bertauliah ini.
“Namun ada juga syarikat atau pihak yang sengaja mengambil jalan mudah dengan menggunakan khidmat mereka kerana syarat-syaratnya cukup mudah,” katanya.
Menurutnya, caj antara RM400 hingga RM1,000 dikenakan ke atas pengusaha dan syarikat yang menginginkan tanda dan sijil halal untuk produk atau restoran mereka dan hanya perlu mengisi beberapa borang.
“Prosedurnya terlalu mudah sedangkan prosedur yang sebenar oleh Jakim adalah lebih ketat dan mengambil sedikit masa.
“Ini juga mungkin antara salah satu sebab pengusaha lebih mudah berurusan dengan ‘syarikat konsultan’ berkenaan berbanding Jakim walaupun mereka tahu perkara itu tidak sah. Itu sahaja cara mudah untuk mengaburi mata pengguna Islam,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini terdapat dua buah ‘syarikat konsultan’ yang bergiat aktif mengeluarkan tanda dan sijil halal dan pelanggan-pelanggan mereka termasuklah beberapa pengusaha kopitiam, restoran makanan tempatan dan makanan barat terkenal di negara ini.
“Setelah lebih 13 tahun menunggu, kita harap Akta Halal dapat direalisasikan dengan secepat mungkin bagi menjaga kepentingan pengguna Islam di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, PPIM menggesa pihak polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNNK) membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas bagi membendung kegiatan tidak beretika itu dari terus berleluasa. //sinarharian







Salam.
Kerap sangat berita berkenaan ‘sijil halal palsu’ dan ‘sijil halal tidak diiktiraf oleh Jakim’ dibangkitkan di media tempatan oleh pihak2 yg mendakwa prihatin terhadap perkara tersebut.
Persoalannya apakah definasi ‘sijil halal palsu’ dan adakah jakim satu badan pengiktirafan halal?
Sila rujuk pada undang2 terlibat-Akta Perihal Dagangan dan pihak tuan sepatutnya mendidik rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang arif dengan fakta dan bukan menerima bulat2 kenyataan akhbar yang mengelirukan.
Jadilah kita orang yang berilmu yang tidak mudah keliru!
Salam.