Tukang sapu pengarah syarikat

0

Category : Apa dah jadi

 RAWANG: Seorang tukang sapu, Misliah Rosdi, 53, terkejut apabila menerima surat peringatan mendakwa dia ‘pengarah’ sebuah syarikat yang culas membayar cukai.

Wanita itu berkata, surat berkenaan dihantar ejen pemungut bayaran sebuah syarikat ke rumah lamanya di Kampung Sungai Buaya dekat sini, pada 21 Februari lalu. “Saya bagai nak pengsan apabila melihat perkataan ‘court’ (mahkamah) sebaik membaca surat ditulis dalam bahasa Inggeris sepenuhnya itu.

Walaupun tidak faham keseluruhan kandungannya, hati tidak gembira melihat perkataan yang mengandungi perintah mahkamah ditulis perenggan akhirnya. “Langsung tak logik. Saya yang miskin, tidak mempunyai telefon bimbit dan hanya ada motosikal lama menjadi pengarah sebuah syarikat sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Misliah yang juga ibu kepada enam anak berkata, dia membawa surat itu ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya, Isnin lalu, sebelum meminta bantuan beberapa guru membaca dan menterjemah kandungannya.

Katanya, beberapa guru sekolah itu hairan dan terperanjat sebaik meneliti kandungan surat yang jelas menyatakan ‘syarikatnya’ tidak menghantar laporan audit sejak beberapa tahun lalu untuk tujuan penilaian. Surat itu menyatakan sejak 30 September 2009, mereka mengeluarkan satu notis arahan pembayaran cukai syarikat yang didakwa gagal dilunaskan syarikat milik saya. Ini menyebabkan saya bertambah bingung. “Mengikut kandungan surat itu, tempoh akhir bagi saya menyelesaikan masalah itu ialah pada 31 Disember lalu.

 Tindakan terakhir ialah mengheret saya ke mahkamah kerana gagal menyelesaikan sejumlah pembayaran yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Melatisari, Bandar Sungai Buaya di sini, semalam. Misliah berkata, dia meminta anak sulungnya, Mohd Faizal Salim, 28, menghubungi syarikat berkenaan dan meminta penjelasan, namun kecewa kerana pihak berkenaan tidak melayani permintaan itu. “Mereka tidak mengendahkan rayuan saya dengan memberi alasan masalah itu perkara lama dan mereka hanya mengikut prosedur,” katanya. Suaminya, Salim Musa, 53, buruh kampung pula risau kerana mereka tidak mempunyai pendapatan besar jika diheret ke mahkamah. Katanya, dengan pendapatan RM500 sebulan, tidak munasabah dia mampu memiliki syarikat sendiri seperti didakwa.

Sementara itu, Misliah dengan bantuan seorang kakitangan pejabat sekolahnya membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa, kira-kira jam 10.41 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, mengesahkan menerima laporan itu dan menjelaskan kertas siasatan akan dibuka segera.//hmetro

Post a comment

[ Online : 914 hari. ]