KUANTAN: Dayusnya seorang lelaki apabila tergamak mencekik leher kekasihnya sebelum menumbuk muka dan badan gadis berkenaan gara-gara teman wanitanya itu enggan memberikan sejumlah wang yang diminta.
Insiden itu bermula apabila lelaki terbabit mengajak kekasihnya bertemu kononnya untuk melepaskan rindu dan pelawaan terbabit disahut teman wanitanya itu tanpa rasa curiga atau prasangka.
Bagaimanapun, bibit indah yang diharapkan gadis berusia 18 tahun itu bertukar igauan ngeri apabila dia dibelasah bertubi-tibu oleh teman lelakinya ketika mereka bertemu di hadapan asrama pekerja tempat gadis berkenaan tinggal di Padang Lalang di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, gadis berkenaan yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di kawasan itu, baru empat bulan menjalin hubungan cinta dengan lelaki berusia 20-an terbabit.






